Bukan lagi ahli parti, tunggu notis rasmi pengosongan kerusi – Ahmad Faizal

Bukan lagi ahli parti, tunggu notis rasmi pengosongan kerusi – Ahmad Faizal


KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengeluarkan notis rasmi mengenai pengosongan kerusi oleh enam ahli Parlimen dan dua ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada parti itu.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, notis tersebut akan dikeluarkan selepas mengikut perlembagaan atau peraturan-peraturan yang ada dalam Bersatu.

“Untuk mengambil satu-satu tindakan itu, jawatankuasa khas perlu ditubuhkan terlebih dahulu.

“Jawatankuasa khas ini akan memanggil semua yang telah melangar peraturan dan akan memohon mereka memberi jawapan dalam tempoh 14 hari,” katanya ketika menjadi panel program SKOP MG, malam tadi.

Jelas beliau, sama ada kesemua menjawab atau pun tidak, jawatankuasa khas itu bersidang dan mengambil keputusan sejajar dengan tindakan terhadap mereka yang jelas melanggar Fasal 10 Perlembagaan Bersatu.

“Jika terbukti, maka perlulah jawatankuasa khas ini melaporkan kepada Majlis Tertinggi Bersatu.

“Kemudian Majlis Tertinggi akan melaporkan kepada Majlis Tertinggi Perikatan Nasional  kerana kami semua bertanding di bawah gabungan ini.

“Jadi proses ini sedang dibuat dan semua tersusun, semuanya nanti akan dimaklukmkan oleh Setiuasaha Agung Bersatu (Datuk Seri Hamzah Zainudin)” jelasnya.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Studio Malaysia Gazette. Foto SADIQ SANI, 05 JUN 2024

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai keengganan mereka mengosongkan kerusi, Ahmad Faizal berkata, ia terpulang kepada mereka.

“Saya hanya rujuk perlembagaan dan jika mereka merasakan ada isu teknikal dan sebagainya, terpulanglah.

“Sebagai seorang yang setia pada parti, apa juga keputusan kita perlulah akur,” katanya.

Sebelum ini, enam ahli Parlimen Bersatu iaitu Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar. Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang) menyatakan pendirian secara terbuka menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bersatu sebelum ini telah meluluskan pindaan perlembagaan parti itu berhubung pelucutan keahlian parti bagi Ahli Parlimen dan Adun serta Ahli Dewan Negeri yang menyokong mana-mana pihak yang bertentangan dengan parti atau lawan.

Pindaan itu membabitkan tiga perkara di bawah Fasal 10 Perlembagaan Bersatu iaitu berkaitan hal-hal pemberhentian dan pemecatan ahli parti.


Kelulusan sebulat suara dibuat pada perhimpunan Agung Khas Bersatu yang dipengerusikan Pengerusi Tetap Bersatu, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah di hadapan 1,956 perwakilan daripada bahagian serta sayap Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dan Srikandi, dan Srikandi Muda yang hadir. -MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top