Buru Lailatulqadar, hati yang diuji

Buru Lailatulqadar, hati yang diuji


MENGHAMPIRI penghujung Ramadan, suasana malam di kebanyakan masjid dan surau semakin suram dan kehadiran umat Islam juga semakin berkurang.

Bagaimanapun di sana, ALLAH SWT menjanjikan suatu yang sangat besar buat mereka yang mampu bertahan dan melaksanakan ibadah sehingga ke akhir Ramadan, terutamanya pada satu malam yang begitu dicari-cari setiap umat Islam yang taat iaitu Lailatulqadar.

Berbincang mengenai Lailatulqadar ini, Guru Bidang Bahasa & Pengajian Islam, Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan Lenggong, Perak, Ustaz Kamarul Azuan Shah Mohd Mashuti menjelaskan, Lailatulqadar bukan sekadar malam yang dinanti-nantikan umat Islam, tetapi ia dicari dengan usaha dan penuh kerinduan.

“Berdasarkan kepada surah al-Qadr, ALLAH SWT menyatakan bahawa Lailatulqadar itu lebih baik daripada seribu bulan.

“Seribu bulan di sini bersamaan dengan lebih daripada 83 tahun yang membawa maksud satu malam itu boleh menyamai nilai satu kehidupan manusia.

“Tetapi keindahan Lailatulqadar bukan hanya pada ganjaran pahala ketika langit sedang terbuka, namun pada masa yang sama hati manusia itu sedang diuji,” jelasnya kepada Sinar Islam Plus.

Malam yang dirahsiakan

Menurutnya, Rasulullah SAW tidak pernah menetapkan tarikh khusus untuk Lailatulqadar kerana Baginda mahu mengajar umatnya agar bersungguh-sungguh mencarinya pada 10 malam terakhir Ramadan, khususnya pada malam-malam ganjil sebagaimana sabda Baginda.

USTAZ KAMARUL AZUAN SHAH

“Sepintas lalu, ramai mungkin bertanya mengapa ALLAH SWT tidak menjadikan malam itu jelas dan pasti? Bukankah lebih mudah jika manusia tahu dengan tepat bila ia berlaku?

“Namun di situlah letaknya kebijaksanaan Tuhan. Jika malam itu ditentukan tarikhnya secara nyata, manusia barangkali hanya akan bersungguh-sungguh hanya pada satu malam, lalu kembali biasa pada malam-malam lain,” hurainya.

Bagaimanapun katanya, apabila ia dirahsiakan, manusia dipanggil untuk berharap, mencuba dan terus mengetuk pintu langit tanpa henti.

“Rahsia ini sebenarnya mendidik jiwa. Islam tidak mendidik manusia menjadi hamba yang rajin secara bermusim, tetapi hamba yang konsisten dalam mencari reda Tuhannya,” katanya. 

Ketika hati diuji

Oleh sebab itu ujarnya, dalam perjalanan spiritual, ALLAH SWT mengajar hamba-NYA nilai sebenar bukan pada kepastian tetapi pada kesungguhan mencari, sama seperti rahsia kematian seseorang agar dia sentiasa bersedia.

UMAT Islam yang taat pasti akan memburu Lailatulqadar yang jatuh pada satu malam antara 10 malam akhir Ramadan. Foto Canva

UMAT Islam yang taat pasti akan memburu Lailatulqadar yang jatuh pada satu malam antara 10 malam akhir Ramadan. Foto Canva

“Namun hakikatnya, Lailatulqadar bukan sekadar malam yang dicari, tetapi perjalanan jiwa untuk pulang kepada fitrah yang lama dirindui.

“Pada malam-malam akhir Ramadan, manusia mula berdepan dengan hatinya. Ketika dunia mula tidur dan suasana menjadi sunyi, kita mula mendengar suara batin yang selama ini tenggelam dalam kesibukan.

“Ada rasa bersalah yang lama dipendam. Ada doa yang sudah lama tidak diungkapkan. Ada rindu kepada Tuhan yang tiba-tiba terasa begitu dekat,” katanya.

Di sinilah ujian sebenar berlaku bukan pada badan yang letih berdiri, tetapi pada hati yang diuji keikhlasannya, sambungnya lagi.

“Lailatulqadar mengajar manusia bahawa yang paling penting bukanlah: ‘Adakah aku menemuinya?’, tetapi ‘Adakah aku benar-benar mencari?’

“Malam yang dirahsiakan ini sebenarnya memaksa manusia untuk jujur dengan dirinya sendiri. Tiada siapa boleh mendakwa dengan yakin bahawa dia telah bertemu Lailatulqadar. Apa yang ada hanyalah harapan dan air mata, antara takut dan rindu, antara dosa dan pengampunan,” jelasnya.

Sambungnya, di situlah keindahannya apabila manusia tidak pasti, dia akan terus mengetuk pintu Tuhan, apabila manusia tidak tahu malam mana yang sebenarnya, dia akan cuba menghidupkan semuanya.

“Apabila manusia tidak yakin amalnya diterima, dia akan terus merendah diri. Akhirnya kita sedar, Lailatulqadar bukan sekadar malam yang dirahsiakan tetapi medan yang mendedahkan keadaan hati manusia.

TERUSKAN beribadah pada malam-malam akhir Ramadan dalam usaha memburu Lailatulqadar. Foto Canva

TERUSKAN beribadah pada malam-malam akhir Ramadan dalam usaha memburu Lailatulqadar. Foto Canva

“Sesungguhnya yang sebenarnya diuji bukan malam itu, tetapi sejauh mana kita sanggup berubah ketika mencarinya,” ujarnya lagi.

Ujian hati yang sebenar

Menurut beliau, pelbagai ragam manusia dapat dilihat ketika berusaha mendapatkan Lailatulqadar.

“Ada orang menangis ketika qiamullail tetapi kembali kepada sikap lama selepas Ramadan. Ada yang rajin beribadah tetapi sukar memaafkan orang lain. Ada yang solat panjang tetapi masih kasar dalam percakapan.

“Maka di sinilah ujian hati berlaku. Lailatulqadar bukan sekadar pengalaman emosi satu malam tetapi titik perubahan yang berpanjangan.

“Tanda seseorang benar-benar mendapat bahagiannya daripada malam itu ialah perubahan selepasnya iaitu lebih sabar, lembut, jujur dan lebih takut kepada ALLAH SWT kerana hakikatnya langit boleh terbuka tetapi jika hati tetap tertutup, kita mungkin pulang dengan tangan kosong,” katanya.

Ringkasan AI

  • Malam Lailatulqadar dicari dengan usaha dan kerinduan kerana ia lebih baik daripada seribu bulan
  • Tarikh Lailatulqadar dirahsiakan untuk mengajar umat Islam bersungguh-sungguh mencarinya di 10 malam terakhir Ramadan
  • Lailatulqadar merupakan malam pengujian hati, bukan hanya penentuan amal
  • Umat Islam diajar untuk konsisten dalam mencari reda Allah, bukan hanya rajin secara bermusim
  • Perubahan hati setelah Ramadan adalah tanda seseorang benar-benar mendapat manfaat dari Lailatulqadar



Source link

OR

Scroll to Top