PERSEDIAAN lebih rapi melibatkan aspek teknikal disifatkan antara elemen perlu dilakukan raja pecut 100 meter (m) Muhammad Azeem Fahmi selepas menyambar slot wild card beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 pada 26 Julai hingga 11 Ogos depan.
Malah bekas Olimpian, Nazmizan Muhammad juga menegaskan penekanan aspek mental antara aspek yang perlu diperkuatkan atlet kelahiran Teluk Intan Perak berusia 20 tahun tersebut apabila berada di gelanggang menghimpunkan jagoan dunia acara riben biru tersebut.
“Alhamdulillah, Azeem mendapat peluang beraksi di pentas temasya sukan terbesar dunia Olimpik, satu motivasi kepada dia untuk bekerja lebih keras lagi perbaiki teknik serta kekuatan mental dan fizikal.
“Sejujurnya untuk penampilan sulung merupakan satu peluang untuk Azeem membuktikan sesuatu tambahan pula menerusi slot wild card juga menjadi tumpuan komuniti olahraga Malaysia.
“Pengalaman beraksi di luar dan dalam negara ketika ini buat Azeem sudah cukup untuk mematangkan beliau, walaupun masih dalam fasa awal. Saya percaya latihan dan pertandingan di Auburn sudah cukup memberikan beliau sedikit gambaran awal bagaimana persekitaran Olimpik nanti.
“Jadi pentas Olimpik Paris 2024 adalah platform tertinggi kepada Azeem bersaing dengan atlet terbaik dunia raih keputusan positif bermula dengan acara saringan,” kata Nazmizan pada Khamis.
Ditanya mengenai tekanan kepada penuntut Universiti Auburn tersebut, Nazmizan menitipkan nasihat:
“Azeem perlu fokus dan jangan terlalu ingin lakukan catatan di bawah 10 saat sebaliknya ikut perancangan disediakan jurulatih.
“Azeem juga perlu lihat semula larian beliau 10.09 sebelum ini dan membuat visualisation yang mana larian beliau tenang dan bersahaja tanpa sebarang tekanan.”
OR