Soalan:
Kalau seorang itu tidak mampu solat berdiri dia boleh solat duduk. Soalan saya duduk bagaimanakah yang sebetulnya?
Jawapan:
Orang yang tidak mampu berdiri dalam solat fardu dia boleh solat dalam keadaan duduk. Sebarang jenis duduk adalah sah dikerjakan sama ada duduk iftirasy iatiu duduk ketika membaca tasyahhud awal atau duduk tawarruk iaitu duduk ketika membaca tasyahhud akhir atau duduk bersila atau duduk berlunjur akan tetapi duduk iftirasy ialah duduk yang paling afdal.
Berkata Imam Nawawi:
وَلَوْ عَجَزَ عَنْ الْقِيَامِ قَعَدَ كَيْفَ شَاءَ. وَافْتِرَاشُهُ أَفْضَلُ مِنْ تَرَبُّعِهِ فِي الْأَظْهَرِ
Ertinya: “Dan jikalau orang yang hendak solat itu lemah daripada berdiri maka duduklah bagaimana cara yang dia mahu. Dan duduk iftirasy lebih afdal daripada duduk bersila pada pendapat yang azhar.” (Kitab Minhaj At-Talibin)
Dan sebab afdal duduk iftirasy afdal bagi mereka yang tidak mampu berdiri untuk solat ialah kerana duduk tersebut merupakan duduk ibadah iaitu kelakuan duduk ifriasy itu ialah rupa orang yang sedang beribadah seperti bersolat atau berzikir atau berdoa.
Berkata Syeikh Khatib As-Syarbini:
أَو عجز عَن قيام بلحوق مشقة شَدِيدَة قعد كَيفَ شَاءَ وافتراشه أفضل من تربعه وَغَيره لِأَنَّهُ قعُود عبَادَة
Ertinya: “Atau jika seorang itu lemah dari berdiri dengan sebab dapat kesukaran yang sangat kalau berdiri maka hendaklah dia duduk bagaimana cara yang dia mahu dan duduk iftirasynya lebih afdal dari duduk bersilanya dan duduk yang lainnya kerana sungguhnya duduk iftirasy itu ialah duduk ibadah.” (Kitab Al-Iqna’)
Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 6/5/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!