Romano Mussolini tampil cemerlang pada penampilan sulungnya di Serie A apabila membantu Cremonese menewaskan Sassuolo 3-2.
ROMANO Floriani Mussolini, cicit kepada diktator Itali, Benito Mussolini tampil cemerlang pada penampilan sulungnya di Serie A apabila membantu Cremonese menewaskan Sassuolo 3-2 di Stadium Giovanni Zini pada Sabtu.
Pemain berusia 22 tahun itu dimasukkan sebagai pemain gantian ketika permainan berbaki lapan minit, dan berjaya mencetuskan sepakan penalti yang disempurnakan oleh Manuel De Luca, sekali gus memastikan kemenangan dramatik buat pasukan tuan rumah.
Kemenangan tersebut memastikan Cremonese, yang baru dinaikkan pangkat ke Serie A berada di tangga teratas liga selepas mencatat dua kemenangan berturut-turut.
Floriani Mussolini, yang dipinjamkan dari Lazio sebelum ini hanya menjadi pemain simpanan ketika Cremonese mengejutkan AC Milan 2-1 pada aksi pembukaan minggu lalu.
“Banyak perkara berlaku dalam masa yang singkat. Saya rasa malam ini akan sentiasa kekal dalam ingatan kerana sejak kecil saya bermimpi beraksi di Serie A.
“Matlamat saya ialah membuat perubahan dan saya gembira kerana berjaya melakukannya,” katanya selepas perlawanan.
Pemain pertahanan kanan itu memakai jersi bernombor 22 dengan nama ‘Romano’ di belakang.
Beliau menimba pengalaman di akademi Lazio tetapi tidak pernah beraksi bersama skuad utama dalam saingan Serie A.
Kariernya sebelum ini menyaksikan beliau dipinjamkan ke Pescara dalam saingan divisyen ketiga pada musim 2023/2024, sebelum beraksi bersama Juve Stabia di Serie B pada kempen 2024/2025.
Ketika menjaringkan gol kemenangan menentang Cesena pada Disember lalu, terdapat laporan mendakwa penyokong Juve Stabia meraikan jaringan itu dengan tabik fasis, namun dakwaan tersebut segera dinafikan oleh kelab berkenaan.
Menyertai Cremonese pada musim panas lalu, Floriani Mussolini menegaskan bahawa fokus utamanya hanyalah bola sepak.
“Nama keluarga saya lebih mengganggu orang lain daripada diri saya sendiri,” katanya.
Untuk rekod, Benito Mussolini merupakan pengasas Parti Fasis Nasional Itali dan memimpin negara itu dari 1922 hingga digulingkan pada 1943.
Beliau bersekutu dengan Adolf Hitler ketika Perang Dunia Kedua sebelum ditangkap dan dibunuh pada 1945.