City juara Piala Liga, Guardiola belum puas buru trofi

City juara Piala Liga, Guardiola belum puas buru trofi


PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola menegaskan dia tidak pernah bosan dengan perasaan menjulang trofi selepas membimbing pasukannya merangkul kejuaraan Piala Liga buat kali kelima di bawah kendaliannya.

Kejayaan itu diraih selepas The Citizens mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Arsenal dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Wembley.

Dua gol pantas dalam tempoh empat minit oleh pemain muda, Nico O’Reilly pada separuh masa kedua sudah cukup untuk memastikan City membawa pulang trofi pertama mereka musim ini.

Kemenangan tersebut sekali gus menyaksikan Guardiola kini telah mengumpul 19 trofi luar biasa sepanjang tempoh khidmatnya di City selain memegang rekod sebagai pengurus yang paling kerap memenangi Piala Liga.

Guardiola mengakui, semangatnya untuk memburu kemenangan tidak pernah pudar walaupun sudah berkali-kali mengecap kejayaan di pentas final.

“Saya masih menikmatinya. Hari ini adalah cabaran sebenar dan tiada siapa yang memberikan laluan mudah kepada kami.

“Hari ini kita melihat tahap sebenar kita menentang pasukan terbaik (Arsenal). Kami menunjukkan siapa kami yang sebenarnya. Itulah bukti dan cabaran yang kami mahukan,” katanya selepas perlawanan.

Tambah pengendali kelahiran Sepanyol itu, dia kagum dengan persembahan anak buahnya terutama pada babak kedua perlawanan.

“Pada separuh masa kedua, saya hampir tidak percaya kami mampu melakukan persembahan sehebat itu menentang Arsenal, tetapi kami berjaya melakukannya,” ujarnya.

Kemenangan ini turut mengimbau memori lapan tahun lalu di mana Guardiola memenangi pingat pertamanya bersama City juga menerusi saingan Piala Liga dan menentang lawan yang sama, Arsenal pada 2018.

Apa yang lebih menggembirakan Guardiola adalah melihat beberapa pemain mudanya merasai pengalaman pertama menjulang trofi yang dianggapnya sebagai pemangkin keyakinan untuk masa depan kelab.

“Bagi James (Trafford), ini final pertamanya. (Abdukodir) Khusanov baru setahun di sini, manakala Nico O’Reilly sangat mengagumkan saya dalam musim penuh pertamanya. Antoine (Semenyo) juga beraksi di final pertamanya.

“Ramai pemain melalui pengalaman pertama mereka dan itu sangat bagus untuk pasukan. Ia memberitahu kami bahawa ‘okay, kita boleh melakukannya’.

“Kami masih jauh lebih baik berbanding musim lepas, namun belum mencapai tahap pasukan yang sepatutnya. Ia memerlukan masa dan diharapkan musim depan serta penghujung musim ini, kami mampu melakukannya lagi,” katanya.

Dua gol O’Reilly pada minit ke-60 dan ke-64 memastikan City terus mendominasi saingan domestik sekali gus memberi amaran awal kepada pesaing lain dalam pemburuan trofi seterusnya musim ini.

Ringkasan AI

  • Pep Guardiola menegaskan dia tidak pernah bosan meraih trofi setelah Manchester City menang Piala Liga
  • The Citizens menang 2-0 atas Arsenal di final di Stadium Wembley
  • Dua gol Nico O’Reilly dalam empat minit memastikan kemenangan City
  • Guardiola kini mengumpul 19 trofi bersama City, pengurus paling banyak menang Piala Liga
  • Kemenangan mengimbau memori kemenangan pertama Guardiola bersama City lawan Arsenal di Piala Liga lapan tahun lalu



Source link

OR

Scroll to Top