Cornelli puji kemampuan Malayan Tigress benam Palestin

Cornelli puji kemampuan Malayan Tigress benam Palestin


mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih Malayan Tigress, Joel Cornelli tidak menyembunyikan rasa bangganya selepas anak buahnya berjaya mencatat kemenangan penting ke atas Palestin dalam aksi yang disifatkannya sukar namun berbaloi.

Menurut pengendali dari Brazil itu, meskipun pasukan lawan bukan berada dalam kelompok ranking tinggi dunia, Palestin tetap memberi tentangan hebat dan bukan mudah untuk ditundukkan.

“Kami tahu dari awal lagi, ini bukan perlawanan mudah. Mereka mungkin bukan pasukan berprofil tinggi, tapi kami tengok aksi mereka sebelum ini. Mereka menang ke atas Arab Saudi, itu sudah cukup membuktikan kemampuan mereka,” katanya.

Terdahulu, Malaysia memulakan kempen kelayakan Kumpulan H Piala Asia Wanita dengan kemenangan 1-0 ke atas Palestin di Stadium Republican Central, Dushanbe, Tajikistan, semalam.

Jaringan Malayan Tigress hadir pada minit ke-86 menerusi gandingan pemain gantian, Farahiyah Ridzuan yang menyempurnakan umpanan Nur Adrienna.

Namun, menarik perhatian adalah aksi cemerlang penjaga gol negara, Nurul Azurin Mazlan memastikan gawang Malaysia terselamat daripada sepakan penalti Dima Alrumhi.

Nurul Azurin sekali lagi bertindak cemerlang apabila menafikan percubaan satu lawan satu oleh Nour Youssef pada minit ke-78.

Kumpulan H turut dibarisi Korea Utara dan tuan rumah, Tajikistan dengan Malaysia akan menentang Tajikistan pada awal pagi Khamis ini dan Korea Utara pada Sabtu, 5 Julai.

Selain itu, Cornelli berkata dia menekankan kepada pemain supaya lebih berhati-hati dan menumpukan perhatian terhadap kekuatan individu pemain lawan yang dianggap berbahaya.

“Kami perlu lebih teliti dari segi pertahanan, sebab mereka ada beberapa pemain yang sangat kuat dalam serangan balas. Jadi organisasi pertahanan kami perlu mantap,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top