Creative Creed rancang kerjasama strategik di Indonesia

Creative Creed rancang kerjasama strategik di Indonesia


Yogyakarta : Syarikat pengurusan acara, Creative Creed Associates (Creative Creed) merancang menjalin kerjasama strategik bersama syarikat terkemuka di Indonesia iaitu GM Production.

Kerjasama bersama syarikat yang menjalankan bidang perniagaan sama di negara republik itu adalah sebahagian daripada langkah pengembangan Creative Creed ke peringkat antarabangsa terutama rantau ini menjelang tahun depan.

Rancangan kerjasama berkenaan dizahirkan menerusi sesi perbincangan awal yang diadakan di Pejabat GM Production di sini pada 17 Disember lalu.

Perbincangan peringkat awal itu membabitkan pertemuan dua hala bagi meneroka potensi kolaborasi strategik dalam industri pengurusan acara dan kreatif.

Pengarah Urusan Creative Creed, Syaiful Bakhtiar Salim berkata, pihaknya berbangga atas kesediaan GM Production untuk meneroka kerjasama untuk kedua-dua pihak mengembangkan lagi perniagaan serta memperluaskan pasaran masing-masing.

Katanya, selain daripada perkembangan perjanjian, kerjasama strategik itu akan turut memberi manfaat kepada kualiti perkhidmatan mereka apabila kedua-dua syarikat ini akan berkongsi pengalaman serta kepakaran masing-masing di antara satu sama lain.

“Dalam industri acara yang semakin mencabar dan kompetitif, keupayaan untuk berkongsi kepakaran, idea kreatif serta pendekatan pengurusan yang berkesan adalah amat penting.

“Kerjasama ini diharap dapat menggabungkan kekuatan Creative Creed dan GM Production bagi menghasilkan pengalaman acara yang lebih inovatif, berkualiti dan bernilai tinggi pada pelanggan,” katanya.

Terdahulu kehadiran Syaiful Bakhtiar dan delegasi Creative Creed seramai 13 orang disambut meriah oleh pengurusan tertinggi dan anggota pekerja GM Production sempena lawatan mereka ke ibu pejabat syarikat berkenaan baru-baru ini.

Turut bersama sebagai delegasi ialah Pengarah Creative Creed, Muhammad Hudhayfah Zulkifli dan Ketua Pegawai Eksekutif Nebula Ventures, Mohd Ainuddin Aliff Salehuden yang merupakan syarikat dalam kumpulan Creative Creed.

Manakala pengurusan GM Production pula diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Bapak Sutikno serta Pengarah Jualan dan Pemasaran, Ibu Yuliana Kartikasari.

Mengulas lanjut, Syaiful Bakhtiar berkata, peluang untuk menguruskan acara di lokasi antarabangsa termasuk di Osaka, Jepun tahun ini membuka mata mereka di Creative Creed untuk ke peringkat antarabangsa.

“Pada 2026, kami mensasarkan serta fokus untuk meneroka pasaran antarabangsa dalam perniagaan pengurusan acara.

“Selepas beroperasi lebih daripada 10 tahun di pasaran tempatan, saya yakin dan percaya, kami mampu untuk mengembangkan lagi pasaran kami dengan sasaran baharu ini, Insya-Allah,” katanya.

Dalam pada itu, semasa berucap pada sesi perbincangan berkenaan, Bapak Sutikno berkata, pihaknya menyambut baik hasrat Creative Creed dan menyifatkan pertemuan mereka itu sebagai langkah positif ke arah pembentukan kerjasama strategik yang mampu memberi manfaat bersama.

“GM Production melihat potensi besar untuk kedua-dua syarikat ini bekerjasama khususnya dalam memperluaskan jaringan serantau dan berkongsi kepakaran dalam penganjuran acara profesional yang menepati piawaian antarabangsa,” katanya yang mengasas syarikat berkenaan sejak 25 tahun lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top