July 27, 2024

Cuaca panas buat aiskrim Malaysia laku!

Cuaca panas buat aiskrim Malaysia laku!



am@hmetro.com.my

Gua Musang: Cuaca panas yang melanda daerah ini memberi rezeki berganda buat seorang suri rumah dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gua Musang apabila menjana pendapatan dengan menjual aiskrim Malaysia dari rumah sejak awal tahun ini.

Syafiqah Shamsul Babri, 33, berkata sejak awal bulan lalu jualan aiskrim Malaysia yang dibuatnya semakin laris apabila berjaya menjual sehingga lebih 200 batang seminggu berbanding sebelum ini tidak sampai 100 batang.

Katanya, setiap hari akan ada pelanggan yang datang membeli ais krim yang dibuatnya dan mempunyai pelanggan tetap mengambil dalam kuantiti banyak sehingga 100 batang seminggu.

“Alhamdulillah bermula selepas Hari Raya Aidilfitri lalu, permintaan aiskrim semakin tinggi dan ada yang membelinya dalam kuantiti yang banyak untuk dijual.

“Saya juga ada meletakkan ais krim ini beberapa kedai runcit yang berhampiran rumah selain mengiklankan melalui kumpulan WhatsApp.

“Setiap aiskrim dijual dengan harga 50 sen dan terdapat 13 perisa yang boleh dipilih pelanggan antaranya choki-choki, asam, jagung dan anggur,” katanya ketika ditemui di rumahnya di PPR Gua Musang, di sini.

Syafiqah berkata dengan pendapatan menjual aiskrim itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka sekeluarga dengan suaminya hanya melakukan kerja kampung.

“Saya tidak berkerja kerana mempunyai dua anak kembar yang masih kecil dan perlukan perhatian sepenuh masa. Jadi dengan pendapatan menjual aiskrim ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban kami sekeluarga.

“Harapan saya pada masa akan datang dapat memiliki aiskrim jenama sendiri dan aiskrim malaysia ini akan mendapat permintaan yang lebih tinggi daripada pelanggan ” katanya yang mempunyai tiga anak berusia tiga dan lapan tahun.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top