am@hmetro.com.my
TEMPOH 40 hingga 60 saat mencuci tangan mungkin kelihatan remeh, namun amalan itu sebenarnya menjadi benteng utama dalam mencegah jangkitan di hospital, sekali gus mampu menyelamatkan nyawa pesakit.
Pengarah Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aisyah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM (Hospital TABTAR) Prof Dr Hamzaini Abdul Hamid berkata, amalan kebersihan tangan adalah asas paling penting dalam sistem penjagaan kesihatan moden.
“Satu sentuhan tanpa kebersihan boleh membawa risiko jangkitan, namun satu tindakan yang betul mampu menyelamatkan nyawa,” katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Kebersihan Tangan Sedunia di hospital berkenaan, di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, kepentingan amalan itu lebih kritikal di Hospital TABTAR kerana pesakit terdiri daripada kanak-kanak yang mempunyai tahap imuniti lebih rendah.
“Amalan ini bukan sekadar rutin, tetapi satu bentuk perlindungan dan amanah dalam memastikan keselamatan pesakit,” katanya.
Sementara itu, Ketua Unit Kawalan Infeksi Hospital TABTAR, Dr Izyan Wajihah Muhammad Nur berkata, tangan adalah medium utama penyebaran kuman dalam persekitaran harian dan hospital tanpa disedari.
“Setiap hari kita menyentuh pelbagai permukaan dan dari situ kuman boleh dipindahkan kepada orang lain, terutama golongan rentan seperti kanak-kanak dan pesakit imuniti rendah,” katanya.
Menurutnya, antara punca utama jangkitan di hospital adalah daripada tangan yang tidak bersih termasuk dalam kalangan petugas kesihatan dan pelawat.
“Cara yang betul ialah mencuci tangan selama 40 hingga 60 saat menggunakan sabun dan air mengalir serta memastikan semua bahagian tangan dibersihkan dengan sempurna,” katanya.
Beliau berkata, program seperti itu penting bagi meningkatkan kesedaran berterusan supaya amalan kebersihan tangan tidak diambil mudah.
“Ramai tahu kepentingannya, tetapi mudah lupa. Jadi, program sebegini penting untuk sentiasa mengingatkan semula,” katanya.
Program berkenaan turut diserikan dengan pameran lukisan kreatif bertemakan ‘Tangan Bersih, Pesakit Selamat’ hasil karya kakitangan Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aisyah Rohani dan Hospital TABTAR.
Pameran berkenaan mengetengahkan mesej kesedaran kebersihan tangan melalui pendekatan seni visual yang lebih dekat dengan masyarakat.
Selain itu, majlis perasmian turut menampilkan gimik pelancaran serta persembahan istimewa oleh kanak-kanak Taska Anak Pintar Hospital TABTAR yang menceriakan suasana dengan persembahan mereka.
Pelbagai aktiviti interaktif turut diadakan sepanjang program termasuk pameran pendidikan serta permainan ‘Jom Tembak Kuman’ yang bertujuan mendidik pengunjung, khususnya kanak-kanak, mengenai kepentingan kebersihan tangan dengan cara lebih santai dan menyeronokkan.
Program itu diharap dapat memperkukuh budaya keselamatan kesihatan dalam kalangan warga hospital dan masyarakat, sekali gus menjadikan amalan mencuci tangan sebagai rutin harian yang tidak boleh diabaikan.
© New Straits Times Press (M) Bhd






