harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Suasana tenang di sebuah pusat beli-belah di Jalan Cochrane, di sini bertukar panik apabila sebuah kedai perkakasan rumah tiba-tiba dipenuhi asap, hari ini.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur dalam kenyataan berkata, sebuah jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pudu dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada 3.53 petang.
“Komander operasi melaporkan, kebakaran membabitkan panel lampu LED di dalam premis berkenaan, bagaimanapun ia berjaya dipadamkan oleh sistem sprinkler sebelum kehadiran bomba.
“Sistem pencegahan kebakaran dan sistem sprinkler di bangunan tersebut berfungsi dengan baik serta teratur,” katanya.
Menurutnya, punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan dan setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.
Terdahulu tular di media sosial beberapa video dan gambar memaparkan suasana panik di sebuah pusat beli-belah selepas dikatakan berlaku kebakaran dalam satu unit kedai.
© New Straits Times Press (M) Bhd






