MANCHESTER United mengumumkan kejayaan mendapatkan penyerang Brazil, Matheus Cunha, dari Wolverhampton Wanderers.
Cunha menyertai The Red Devils dengan kontrak lima tahun, menurut kenyataan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.
United mengaktifkan klausa pelepasan Cunha yang bernilai sekitar £62.5 juta pound, menurut sumber dalam kelab, dengan pilihan untuk melanjutkan kontraknya setahun lagi.
“Sukar untuk meluahkan perasaan saya tentang menjadi pemain Manchester United…
“Sejak saya kecil di Brazil menonton perlawanan EPL di TV di rumah nenek saya, United adalah pasukan Inggeris kegemaran saya dan saya bermimpi untuk memakai jersi merah itu. Saya tidak sabar menantikan permulaan pramusim untuk mengenali rakan sepasukan saya dan bersedia untuk musim yang akan datang.
“Seluruh fokus saya sekarang adalah untuk bekerja keras menjadi bahagian penting dalam pasukan, dan membantu mengembalikan kelab ini ke puncak,” ujar Cunha.
Pemain berusia 26 tahun itu menjaringkan 33 gol dan menyediakan 15 bantuan gol dalam 92 penampilan untuk Wolves, dengan 15 daripada gol tersebut dicetak di EPL musim lalu.
Cunha baru-baru ini membantu Brazil melayakkan diri ke Piala Dunia 2026, dengan menghasilkan satu-satunya gol dalam kemenangan penting 1-0 di laman sendiri ke atas Paraguay.
Beliau adalah seorang playmaker dinamik yang turut membantu Brazil meraih tiket ke Piala Dunia 2026 apabila beliau memberikan bantuan gol kepada Vinicius Junior dalam kemenangan 1-0 menentang Paraguay.
“Mendapatkan Matheus adalah salah satu keutamaan utama kami untuk musim panas ini, jadi kami gembira dapat menyelesaikan perpindahannya seawal ini dalam jendela perpindahan..
“Beliau telah membuktikan kemampuannya untuk berjaya di EPL sebagai salah satu penyerang paling menarik dan produktif di England sepanjang tempohnya di Wolves.
“Beliau mempunyai semua kualiti yang kami cari dalam usaha kami untuk membina pasukan yang kuat, dinamik, dan menghiburkan yang mampu mencabar untuk kejuaraan terbesar,” kata pengarah bola sepak United, Jason Wilcox.
Sebagai rekod, United bimbingan Ruben Amorim menamatkan saingan liga musim lalu di tempat ke-15 dengan 42 mata.
Perpindahan ini juga menjadi rekod penjualan bagi Wolves, mengatasi angka £53 juta pound yang mereka terima daripada Manchester City untuk pemain tengah Matheus Nunes pada tahun 2023.