Korea Selatan sasar anjur semula F1 pada 2028

Korea Selatan sasar anjur semula F1 pada 2028


Seoul: Korea Selatan mahu menjadi tuan rumah perlumbaan Formula Satu (F1) buat kali pertama sejak 2013 selepas memperkenalkan reka bentuk litar baharu yang menurut pegawai, berdaya maju dari sudut kewangan.

Pelan itu menyaksikan perlumbaan diadakan di litar jalan raya sepanjang lima kilometer di bandar Incheon, di luar ibu negara Seoul. Namun idea tersebut masih di peringkat awal dan berdepan beberapa halangan.

Grand Prix (GP) Korea Selatan pernah menjadi sebahagian daripada kalendar di litar F1 berbeza di selatan negara itu bermula 2010, namun dibatalkan selepas tiga tahun akibat kos tinggi dan sambutan tempatan yang hambar.

Pegawai bandar Incheon hari ini berkata, bahawa rancangan baharu itu mampu menjana pendapatan dan mereka berharap dapat menarik sehingga 400,000 pengunjung sepanjang tiga hari hujung minggu perlumbaan.

Datuk Bandar Incheon, Yoo Jeong-bok berkata mereka mensasarkan untuk menganjurkan perlumbaan pertama pada 2028.

Reka bentuk trek itu dibangunkan selepas meneliti litar jalan raya di Singapore dan Las Vegas.

“Adalah mungkin untuk menghubungkan Grand Prix F1, yang kini berkembang sebagai satu bentuk hiburan, dengan budaya K,” menurut pelan tersebut.

“Kami menjangka mengadakan pelbagai persembahan budaya, termasuk menjemput artis terkenal dunia, bagi menaikkan taraf infrastruktur budaya dan pelancongan Incheon ke standard bertaraf dunia.”

F1 ketika ini mengadakan perlumbaan di 24 lokasi seluruh dunia, termasuk China, Jepun dan Singapura.

Vietnam sepatutnya menganjurkan perlumbaan pada 2020, namun acara itu dibatalkan akibat pandemik COVID-19 dan tidak kembali dalam kalendar sejak itu. Thailand tahun lalu meluluskan bidaan untuk menjadi tuan rumah perlumbaan.

F1 enggan mengulas mengenai rancangan Korea Selatan itu. Sebarang usaha untuk membawa semula sukan itu perlu melepasi pelbagai halangan termasuk kelulusan kerajaan pusat, mencari penganjur dan mendapatkan slot dalam kalendar perlumbaan yang padat.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top