suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Dua suspek dipercayai warga asing maut selepas kejadian berbalas tembakan dengan polis dalam serbuan bagi menyelamatkan mangsa culik di sebuah rumah di Taman Amira, Alor Setar, Kedah, malam tadi.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.40 malam apabila sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Khas (D9), JSJ Bukit Aman menjalankan serbuan di kawasan perumahan berkenaan.
Katanya, suspek melepaskan beberapa das tembakan ketika serbuan sebelum polis membalas tembakan bagi mempertahankan diri sehingga keadaan terkawal.
“Dua suspek yang dipercayai warga asing disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan jam 9.30 malam.
“Bagaimanapun, tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada kedua-dua suspek,” katanya dalam kenyataan, awal pagi ini.
Kumar berkata, mangsa seorang lelaki warga asing berusia 70-an dan wanita warga asing berusia 30-an ditemukan selamat dalam keadaan mata bertutup dan tangan bergari.
Katanya, dua pucuk senjata api pistol semi auto jenis Baretta mengandungi lima butir peluru dan revolver mengandungi empat butir peluru serta satu bilah parang panjang turut ditemui berdekatan penjenayah.
Beliau berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961.
Susulan kejadian itu, Kumar berkata, polis menjalankan beberapa serbuan berasingan di beberapa lokasi di sekitar Kedah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
Katanya, seramai enam individu ditahan membabitkan seorang lelaki warga tempatan, empat lelaki warga asing serta seorang perempuan warga asing berusia antara 20-an hingga 40-an.
“Permohonan reman terhadap kesemua suspek akan dibuat hari ini di bawah Seksyen 12 Akta Penculikan 1961.
“Kes masih di peringkat siasatan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau membuat sebarang komen yang boleh mengganggu proses siasatan atau memanipulasi fakta dengan tujuan menyebabkan kegusaran kepada masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, satu sidang media berkaitan insiden berkenaan akan diadakan pada Isnin ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd






