Kempen Jalur Gemilang perlu ikut peredaran zaman

Kempen Jalur Gemilang perlu ikut peredaran zaman

Kempen Jalur Gemilang perlu ikut peredaran zaman


PETALING JAYA: Pendekatan Kempen Kibar Jalur Gemilang perlu diberi nafas baharu agar lebih relevan dengan perubahan zaman dan tidak lagi dilihat sebagai sekadar memenuhi rutin program kerajaan setiap kali sambutan Bulan Kebangsaan.

Usaha memupuk semangat patriotisme terutama dalam kalangan generasi muda perlu disesuaikan dengan corak kehidupan digital kerana media sosial menjadi saluran utama mereka mendapatkan maklumat.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Izzat Afifi berkata, fokus kempen perlu beralih daripada mengukur jumlah bendera yang dikibarkan kepada usaha membina kefahaman rakyat me­ngenai makna Jalur Gemilang sebagai lambang perpaduan, kemerdekaan dan identiti negara.

Katanya, penyampaian mesej patriotisme menerusi video pendek, infografik, podcast serta kerjasama dengan pencipta kandungan mampu menarik minat belia dan memberi impak lebih berkesan berbanding pendekatan konvensional.

“Apabila mesej disampaikan melalui platform yang dekat dengan mereka, penghayatan terhadap nilai patriotisme akan lebih mudah dibentuk dan berkekalan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Usaha mendekatkan Jalur Gemilang kepada masyarakat tidak seharusnya tertumpu pada bulan kebangsaan semata-mata, sebaliknya diterapkan sepanjang tahun menerusi program komuniti, aktiviti belia, sukan dan institusi pendidikan.

Beliau turut menyokong usaha Kementerian Pendidikan mewajibkan pemakaian pin Jalur Gemilang kepada semua pelajar sekolah bermula tahun lepas, sebagai langkah menyemai sahsiah patriotik secara berterusan.

Katanya, pendidikan mengenai tatacara pengibaran Jalur Gemilang perlu diperkasakan susulan beberapa insiden paparan bendera yang tidak tepat sejak kebelakangan ini.

“Masyarakat perlu diberi pendedahan mengenai cara mengibarkan dan menghormati Jalur Gemilang dengan betul supaya kesilapan sama tidak berulang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Koordinator KHIDMAT Petaling Jaya, Muhammad Nabil Halimi berkata, organisasi belia memainkan peranan dalam membentuk rasa kepunyaan dan tanggungjawab terhadap negara tanpa unsur paksaan dan ia boleh dicapai melalui program rentas kaum dan ruang dialog terbuka membincangkan masa depan negara.

“Belia dan orang muda perlu memahami bahawa konteks perjuangan telah berubah mengikut cabaran zaman.

“Perjuangan kita memastikan negara bebas rasuah, kemiskinan, perpecahan kaum, kejahilan dan ketidakadilan,” katanya. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top