IPOH: Setiausaha PAS Negeri Perak, Ustaz Hafiz Othman menegaskan, isu yang dibangkitkan mengenai cuti hari Jumaat bukan berkaitan dengan kewajipan, tetapi soal keutamaan.
“Saya tidak menujukan perkara ini kepada individu tertentu, tetapi kepada mereka yang berpendapat Jumaat bukan wajib untuk bercuti,” katanya.
Menurut Ustaz Hafiz, walaupun seseorang tidak diwajibkan bercuti pada hari Jumaat, beliau menegaskan, terdapat banyak kelebihan untuk berbuat demikian.
Beliau juga mengkritik mereka yang berhujah, tidak wajib bercuti pada hari Jumaat, menyifatkan hujah tersebut tidak relevan dengan isu utama yang dibincangkan, iaitu mana lebih baik antara Jumaat dan hari-hari lain, terutama Ahad.
“Bagi mereka yang beriman dan mengutamakan ibadah, cuti pada hari Jumaat adalah pilihan yang lebih baik kerana ia merupakan penghulu segala hari,” ujarnya.
Beliau turut berkongsi pengalaman ketika bekerja dengan majikan bukan Muslim yang hanya membenarkannya bercuti dua jam setiap dua minggu untuk solat Jumaat, namun setelah penjelasan diberikan, majikan tersebut menghormati pendiriannya.
Tambahnya lagi, kakitangan swasta sering berhadapan dengan majikan yang tidak memahami kepentingan solat Jumaat, mengakibatkan tekanan kepada pekerja Muslim.
“Isu ini bukan mengenai wajib atau tidaknya cuti, tetapi mengenai keutamaan yang lebih baik untuk umat Islam,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/10/2024