Dalam Era Mengejar FYP, Mati Pun Boleh Dua Kali

Dalam Era Mengejar FYP, Mati Pun Boleh Dua Kali


Dalam dunia digital yang serba pantas, berita tentang kematian selebriti sering kali menjadi magnet untuk menarik perhatian pengguna media sosial.

Namun, di sebalik gelombang simpati dan ucapan takziah yang membanjiri ruangan komen, realitinya  ramai antara mereka yang dikatakan meninggal dunia sebenarnya masih hidup dan sihat.

Senarai selebriti yang menjadi mangsa berita palsu kononnya sudah meninggal dunia agak panjang. Antaranya Farahdiya, A. Galak , Aiman Tino, Mas Idayu, Datuk Jalaluddin Hassan, Anita Sarawak, Datuk Nash (dua kali), Betty Banafe, Aaron Aziz, Zarina Zainuddin dan To’Ki.

Sementara itu, pelakon Adam Corrie yang turut menjadi mangsa berita kematian palsu awal tahun ini menasihatkan orang ramai menyemak kesahihan sesuatu berita sebelum mempercayai atau berkongsi.

Katanya, berita palsu sedemikian memberi kesan yang besar dan menyusahkan mangsa dan keluarga

“Fitnah sebegini bukan sahaja membingungkan keluarga dan rakan-rakan saya, malah boleh menimbulkan kebimbangan di kalangan yang mengenali saya,” katanya.

Adam Corrie kecewa dengan berita palsu kematiannya

Fenomena ‘kematian maya’ bukan perkara baharu. Di peringkat antarabangsa, beberapa nama besar Bollywood seperti Shah Rukh Khan, Kajal Aggarwal dan Amitabh Bachchan juga pernah menjadi mangsa laporan palsu yang mendakwa mereka sudah meninggal dunia.

Dalam kes Shah Rukh Khan misalnya, khabar angin bermula daripada mesej berantai di WhatsApp sebelum merebak ke X dan Facebook. Walaupun dinafikan kemudian, ramai pengguna sudah pun mempercayainya.

Proses penghasilan berita palsu selalunya mudah bermula dengan satu hantaran tanpa sumber sahih  namun kesannya besar.

Shah Rukh Khan ‘sudah meninggal’ di dunia maya

Dalam masa beberapa jam sahaja, ia boleh mengubah pandangan jutaan orang tanpa sebarang asas kebenaran.

Lebih membimbangkan, tidak semua berita palsu dapat diperbetulkan semula. Ketika kebenaran lambat tiba, masyarakat sudah terlanjur mempercayai versi yang lebih sensasi bersalut emosi.

Pakar-pakar komunikasi berpendapat, keghairahan untuk menjadi yang terawal berkongsi sesuatu sering kali membuatkan pengguna mengabaikan semakan fakta.

Dalam dunia yang serba laju, prinsip ‘siapa cepat dia betul’ menggantikan kejujuran sebagai keutamaan.

Bagi menangani berita palsu, pelbagai kaedah inovatif digunakan Kerajaan MADANI dengan yang terbaharu ialah chatbot AIFA (Artificial Intelligence Fact-check Assistant) di bawah portal Sebenarnya.my.

Kementerian Komunikasi sentiasa mencari jalan untuk bantu rakyat kenal pasti berita palsu

Inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu dilancarkan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil pada Januari lalu.

Fahmi menjelaskan bahawa AIFA berfungsi sebagai alat penting untuk memperkasakan rakyat dengan maklumat yang telah disahkan oleh pihak berwajib serta mengurangkan impak buruk daripada maklumat palsu yang tersebar.

“Dengan kemudahan ini, rakyat mempunyai cara yang mudah, pantas dan boleh dipercayai untuk mengesahkan maklumat yang mereka terima atau temui secara dalam talian,” katanya sambil menegaskan bahawa teknologi seperti ini menjadi benteng pertama melawan penyebaran berita palsu.

Beliau turut menambah bahawa pelancaran AIFA adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk membentuk masyarakat celik digital yang mampu menilai kesahihan sesuatu maklumat sebelum berkongsi kepada orang lain.

Prinsip mudahnya kekal sama iaitu jika tidak pasti, jangan kongsi. Sikap berhati-hati ini mungkin tampak kecil tetapi mampu memutuskan rantaian penyebaran fitnah dan maklumat palsu yang kian berleluasa.

Dunia digital tidak salah. Yang sering tersilap adalah manusia yang mengendalikannya. Justeru, tanggungjawab moral setiap pengguna menjadi garis pemisah antara maklumat benar dan berita palsu.

Dalam zaman di mana seseorang boleh ‘mati’ dua kali  (sekali dalam berita palsu dan sekali lagi dalam dunia sebenar), integriti maklumat adalah tanggunggjawab bersama.






Source link

OR

Scroll to Top