July 27, 2024

Dapat sokongan pengundi, Sock Tao bersemangat terus berkempen

Dapat sokongan pengundi, Sock Tao bersemangat terus berkempen


HULU SELANGOR – Calon Pakatan Harapan (PH) yang mewakili DAP, Pang Sock Tao menyatakan bersemangat untuk terus berkempen susulan mendapat sokongan daripada para pengundi-yang ditemuinya.

Beliau berkata, semangatnya itu timbul bukan sahaja kerana penerimaan baik daripada orang ramai yang ditemui pada hari keempat berkempen tetapi disebabkan bertekad mahu berkhidmat kepada penduduk Kuala Kubu Baharu jika diangkat sebagai wakil rakyat.

“Kita akan mendekati rakyat seramai mungkin dan saya rasa mengenai saya sebagai calon baru atau orang luar saya ingin menegaskan di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

“Saya akan bekerja lebih keras dan tinggal di KKB (Kuala Kubu Baharu) bersama rakyat untuk memberi perkhidmatan yang terbaik.

“Hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mengadakan walkabout di Pasar Pagi pekan Kuala Kubu Baharu di sini hari ini.

Beliau diiringi Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Teo Nie Ching.

Menurut Sock Tao lagi, masyarakat di Kuala Kubu Baharu mempunyai populasi dalam kalangan warga emas yang sangat ramai dan disebabkan itu isu rakyat terutama golongan tersebut sentiasa dekat dihatinya.

“Jika saya diberi peluang saya ingin menggunakan peruntukan sebagai ADUN untuk menjamin kesejahteraan rakyat, menjaga golongan-golongan terpinggir khususnya golongan muda, wanita dan warga emas,” ujarnya.

Dalam pada itu, Sock Tao tidak rasa terganggu dengan serangan-serangan politik daripada pihak lawan kerana sebagai anak muda matlamatnya yang mahu membawa pembangunan, kebajikan dan menjamin kesejahteraan menjadi fokus utama.

Disebabkan itu, beliau berkata, kurang mendapat serangan yang tidak relevan daripada pihak lawan.

“Jadi bagi saya kena fokus, saya tidak boleh lari daripada fokus kempen saya. Yang itu tidak relevan kepada rakyat-rakyat KKB sebab rakyat setempat di sini mereka mahu wakil rakyat yang boleh membantu dan boleh berkhidmat.

“Jadi dengan hati yang ikhlas dan iltizam yang tinggi saya mampu dan yakin boleh buat.

“Saya rasa kita perlu mengamalkan politik matang dan saya harap pihak lawan boleh berkempen secara berhemah dan saya sendiri tidak mahu ulas isu peribadi orang lain,” tambahnya. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top