June 24, 2024

'Geng Bob' tumpas, sorok ganja atas siling, almari pakaian


Kuala Lumpur: Polis berjaya menumpaskan Geng Bob dipercayai terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah apabila menahan lima lelaki tempatan di sebuah kawasan perumahan di Hulu Bernam, Hulu Selangor, semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Ahmad Faizal Tahrim berkata kesemua suspek berusia 21 hingga 59 tahun yang mempunyai pertalian keluarga dan aktif mengedar dadah antara enam hingga lapan bulan lalu itu ditahan jam 10.50 malam.

Polis turut merampas tiga ketulan ganja seberat 2.5 kilogram bernilai bernilai RM7,762.40 serta menyita tiga buah motosikal jenis Yamaha 125z bernilai RM21,000.

Menurutnya dua ketulan ganja dibalut dengan plastik lut sinar (1.7kg) dijumpai di atas siling bumbung rumah berkenaan manakala satu lagi (0.77 kg) di atas almari pakaian dalam sebuah bilik.

” Tiga dari suspek mempunyai hubungan kekeluargaan manakala dua lagi merupakan rakan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Faizal berkata kesemua suspek masing-masing bekerja sebagai tukang gunting rambut, pemandu lori, kelindan lori dan penganggur dan tiga daripada mereka mempunyai lapan rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah.

“Kesemua suspek telah ditahan reman selama tujuh hari mulai esok hingga 5 Mei ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top