Dari dunia biasa ke istana

Dari dunia biasa ke istana


syazrina@hmetro.com.my

Beijing: Ramai terpesona dengan kisah cinta diraja.

Lebih-lebih lagi apabila insan biasa berjaya menawan hati kerabat diraja dan hidup bahagia.

Berikut adalah 10 individu yang dikatakan berjaya menjalani kisah dongeng seperti watak Disney dengan berkahwin bersama keluarga diraja.

1. Meghan Markle dan Putera Harry

Meghan Markle, bekas pelakon siri Suits, berkahwin dengan Putera Harry pada 19 Mei 2018 di Istana Windsor, barat London, sebelum ‘Duke and Duchess of Sussex’ itu berundur daripada tugas rasmi diraja dan berpindah ke Amerika Syarikat (AS).

Mereka mempunyai dua anak, Putera Archie Harrison Mountbatten-Windsor, yang lahir pada 6 Mei 2019 di London, dan Puteri Lilibet “Lili” Diana Mountbatten-Windsor, yang lahir pada 4 Jun 2021 di California, AS.

2. Putera Christian dari Hanover, Jerman, dan Alessandra De Osma

Putera Christian dari Hanover, Jerman, berkahwin dengan peguam dan bekas model, Alessandra De Osma, dalam majlis mewah di Lima, Peru pada 2018.

Mereka berkenalan di Peru pada 2005. Pasangan ini dikurniakan anak kembar yang lahir di Madrid pada 2020, dan anak ketiga yang lahir pada 2024.

Untuk rekod, walaupun berketurunan dari keluarga raja, beliau tidak memiliki keistimewaan mengikut undang-undang kerana monarki Jerman monarki dimansuhkan selepas Revolusi Jerman 1918–1919.

3. Putera Casimir zu Sayn-Wittgenstein-Sayn dari Jerman, dan Alana Bunte

Model AS, Alana Bunte berkahwin dengan putera Jerman, Casimir zu Sayn-Wittgenstein-Sayn pada 2017 di sebuah istana abad ke-12 di Bendorf, Jerman.

Ini adalah perkahwinan kedua untuk Casimir zu Sayn-Wittgenstein-Sayn.

Putera ini adalah dari keturunan Raja Henry II, England. Sama seperti Putera Christian dari Hanover, beliau tidak mewarisi keistimewaan mengikut undang-undang Jerman.

4. Sofia Hellqvist, Sweden dan Putera Carl Philip

Sofia Hellqvist yang pernah bergelar model dan bintang realiti televisyen di Sweden berkahwin dengan Putera Carl Philip pada Jun 2015 selepas mula bercinta pada 2010.

Mereka dikurniakan empat anak, Putera Alexander (2016), Putera Gabriel (2017), Putera Julian (2021), dan Puteri Ines (2025).

Bagaimanapun, atas perintah diraja, anak-anak pasangan ini masih mengekalkan nama putera dan puteri tanpa gelaran Duli Yang Teramat Mulia supaya mereka dapat membesar tanpa tekanan daripada awam.

5. Putera Pierre Casiraghi (Monaco) dan Beatrice Borromeo

Putera Pierre Casiraghi, cucu kepada Grace Kelly, berkahwin dengan wartawan dan lulusan undang-undang, Beatrice Borromeo, di Monte Carlo pada 2014 selepas mereka berkenalan ketika sama-sama belajar di Universiti Luigi Bocconi, Milan.

Beliau lahir atas perkahwinan kedua ibunya dengan ahli perniagaan Itali, sosialit, dan pelumba perahu layar luar pesisir iaitu Stefano Casiraghi.

6. Kate Middleton dan Putera William

Kate Middleton yang kini dikenali sebagai ‘Catherine, Duchess of Cambridge’, berkahwin dengan Putera William pada 29 April 2011 selepas hampir sedekad bercinta sejak berkenalan di Universiti St Andrews, Scotland.

Pasangan itu dikurniakan tiga anak iaitu Putera George dilahirkan pada 2013, Puteri Charlotte (2015) serta Putera Louis (2018).

Untuk rekod, William adalah pewaris takhta.

7. Charlene Wittstock dan Putera Albert II, Putera Monaco

Bekas perenang Olimpik Afrika Selatan, Charlene Wittstock berkahwin dengan Putera Albert II dari Monaco pada 2011 selepas berkenalan sejak 2000, sebelum mereka dikurniakan anak kembar pada 2014.

Baginda adalah ketua negara Monaco. Namun, pemerintah negara itu menggunakan gelaran rasmi putera dan bukannya raja.

8. Putera Joachim dari Denmark dan Marie Agathe Odile Cavallier

Putera Joachim dari Denmark berkahwin dengan Marie Cavallier pada 24 Mei 2008.

Hubungan mereka mula menjadi perhatian umum pada 2005, ketika Marie yang berkerjaya dalam bidang pemasaran dirakam bercuti bersama putera itu di Perancis.

Ini adalah perkahwinan kedua Putera Joachim. Pasangan itu mempunyai dua anak. Putera itu turut memiliki dua anak menerusi perkahwinan pertama.

9. Silvia Sommerlath dan Raja Carl Gustaf dari Sweden

Silvia Sommerlath berkahwin dengan Carl Gustaf pada 1976 selepas pertemuan mereka di Sukan Olimpik 1972. Pada masa itu, Silvia adalah pengurus latihan hos untuk Jawatankuasa Penganjur sukan berkenaan.

Silvia yang mahir dalam enam bahasa kini menjadi Permaisuri Sweden pada hari perkahwinan dengan Carl Gustaf yang menjadi raja sejak 1973.

Pasangan itu memiliki tiga anak dan sembilan cucu.

10. Grace Kelly dan Rainier III, Putera Monaco

Grace Kelly, pelakon Hollywood terkenal, berkahwin dengan Rainier III, Putera Monaco pada 1956 selepas pertemuan di Festival Filem Cannes.

Perkahwinan mereka berakhir dengan tragis apabila Puteri Grace meninggal dunia pada 14 September 1982 akibat kecederaan yang dialami dalam kemalangan kereta.

Putera Rainier III tidak pernah berkahwin lagi sehingga kemangkatannya pada tahun 2005.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top