DBKL sasarkan lupus 1,200 kenderaan usang, terbiar tahun ini

DBKL sasarkan lupus 1,200 kenderaan usang, terbiar tahun ini


am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyasarkan pelupusan sebanyak 1,200 kenderaan usang, buruk dan terbiar bagi tahun ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, sehingga awal April, sebanyak 768 kenderaan pelbagai jenis sudah dilupuskan.

Beliau berkata, bagi menyokong pengurusan kenderaan terbabit, DBKL menyediakan tiga depoh utama iaitu di Taman Connaught, Cheras (kapasiti 1,600 kenderaan), Pantai Sentral, Lembah Pantai (900 kenderaan) dan Jalan Mas, Chan Sow Lin (600 kenderaan).

“Dalam usaha meningkatkan kecekapan pengurusan kenderaan buruk atau tersadai, DBKL melantik Tetuan Car Medic Sdn Bhd sebagai penyedia perkhidmatan terbabit.

“Skop perkhidmatan merangkumi kerja-kerja tunda dan angkut di kawasan awam, penyediaan logistik serta stor simpanan, pelupusan secara lestari, selain pelaksanaan program pelupusan secara sukarela di kawasan perumahan awam DBKL dan strata,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Program pelupusan kenderaan buruk atau tersadai secara sukarela di kawasan perumahan awam atauProgram Perumahan Rakyat (PPR), di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Datuk Fahmi Fadzil.

Fadlun berkata, bagi tempoh 2022 hingga 2025, DBKL sudah pun menunda lebih 4,500 kenderaan usang, buruk dan tersadai.

Mengulas mengenai Program pelupusan kenderaan buruk dan tersadai secara sukarela, katanya, melalui program ini pemilik kenderaan ditawarkan untuk melupuskan kenderaan secara sah melalui proses pembatalan pendaftaran menggunakan sistem e-Dereg dengan pengesahan dalam tempoh singkat.

“Sebagai galakan, ganjaran tunai antara RM100 hingga RM2,000 disediakan mengikut jenis dan keadaan kenderaan yang dilupuskan.

“Bagi tempoh tiga bulan pertama, program akan memberi tumpuan kepada kawasan perumahan awam DBKL, yang merekodkan sebanyak 1,159 kenderaan buruk atau tersadai sehingga 30 Mac lalu. Sekiranya pemilik masih gagal mengambil tindakan secara sukarela, tindakan tunda atau angkut akan dilaksanakan,” katanya.

Dari segi proses pelaksanaan penguatkuasaan, beliau berkata, setiap kenderaan yang dikenal pasti akan melalui siasatan awal.

“Sekiranya didapati menghalang laluan atau menimbulkan kacau ganggu, notis bertempoh akan dikeluarkan kepada pemilik untuk tujuan pengalihan.

“Kegagalan mematuhi notis terbabit akan mengakibatkan tindakan tunda atau angkut diambil, dan kenderaan akan dipindahkan ke depoh simpanan DBKL,” katanya.

Bagi tujuan tuntutan, katanya pemilik atau wakil perlu menjelaskan kompaun sehingga RM500, selain kos pengangkutan mengikut jenis kenderaan serta caj simpanan harian.

“Selain kos pengangkutan mengikut jenis kenderaan serta caj simpanan harian. Sekiranya tidak dituntut dalam tempoh yang ditetapkan, kenderaan akan dilupuskan selaras dengan Seksyen 46, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974,” katanya.

Beliau menyeru orang ramai yang ingin melupuskan kenderaan secara sukarela menghubungi Tetuan Car Medic Sdn Bhd di talian 03-87236555 dengan mengemukakan maklumat kenderaan untuk tindakan lanjut.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top