DBKL tiada obligasi salur dana kepada KLFA, KL City

DBKL tiada obligasi salur dana kepada KLFA, KL City


KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak mempunyai sebarang obligasi untuk menyalurkan dana kepada Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) mahu pun KL City FC.

Selaku menteri yang bertanggungjawab kepada DBKL, Dr Zaliha berkata, walaupun ia menjadi amalan sebelum ini, KLFA dan KL City FC merupakan badan yang berdiri sendiri dan tidak mempunyai ikatan secara formal dengan DBKL selain beroperasi secara bebas.

“Perlu diingatkan hasil pendapatan DBKL sebahagian besarnya datang daripada cukai dibayar rakyat.

“Oleh yang demikian, menjadi tanggungjawab DBKL untuk memastikan wang cukai rakyat ini digunakan dengan sebaik-baiknya demi kesejahteraan dan kemakmuran semua warga kota,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad yang juga bekas Presiden KLFA memohon agar 0.5 peratus daripada jumlah pendapatan DBKL disalurkan kepada KLFA dan KL City FC.

Dr Zaliha bagaimanapun berkata, DBKL sentiasa bersedia membantu dan menghargai usaha KLFA dan KL City FC dalam memajukan sukan bola sepak di Kuala Lumpur.

“Saya turut berbangga dengan pencapaian yang ditonjolkan selama ini serta melihat potensi besar dan masa depan yang cemerlang bagi pasukan KL City FC,” katanya.

Sebelum ini, Khalid mendakwa isu tunggakan gaji yang dialami pasukan ketika ini berpunca dari dana dari DBKL yang tidak diberikan kepada pasukan bagi menghadapi saingan musim ini. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top