London: Liam Delap dijangka tampil lebih awal bersama Chelsea pada Piala Liga menentang Wolves minggu depan, menurut pengurus Enzo Maresca, hari ini.
Penyerang itu sebelum ini hanya dijangka kembali beraksi sehingga November atau Disember selepas mengalami kecederaan hamstring pada Ogos, namun jadual pemulihannya kini disemak semula.
Delap, 22, hanya sempat bermain tiga perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk Chelsea sejak menyertai kelab itu daripada Ipswich pada Jun dengan yuran perpindahan bernilai £30 juta tetapi masih belum menjaringkan gol dalam saingan liga utama.
“Liam menyertai sesi latihan bersama pasukan buat pertama kali semalam,” kata Maresca, yang pasukannya akan menentang Sunderland esok.
“Dia belum boleh diturunkan untuk perlawanan esok, tetapi mungkin untuk perlawanan berikutnya.
Jadual boleh berubah sedikit bergantung kepada sama ada dia bertambah baik atau sebaliknya. Pada mulanya mereka kata dia boleh kembali pada 25 Oktober, tetapi hari ini 24 Oktober. Jadi minggu depan dia mungkin sudah bersedia.”
Maresca menggunakan beberapa penyerang lain sepanjang ketiadaan Delap, termasuk pemain baharu Joao Pedro dan produk akademi Tyrique George.
Penyerang remaja Marc Guiu turut dipanggil semula dari Sunderland selepas kecederaan Delap dan berjaya menjaringkan gol pertamanya musim ini dalam kemenangan 5-1 ke atas Ajax dalam saingan Liga Juara-Juara, semalam.
Namun Maresca berkata, dia hanya kini melihat prestasi yang diharapkan daripada pemain berusia 19 tahun itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd






