Dembele lebih layak menang Ballon d’Or berbanding Salah

Dembele lebih layak menang Ballon d’Or berbanding Salah


PEMAIN pertahanan Perancis, Ibrahima Konate membuat kenyataan mengejut apabila menyatakan Ousmane Dembele lebih layak memenangi Ballon d’Or 2025, dan bukannya rakan sepasukannya di Liverpool, Mohamed Salah.

Salah sebelum ini berada dalam senarai utama pencabar anugerah tersebut, namun kegagalan Liverpool dalam Liga Juara-Juara serta kemerosotan prestasi individu menyebabkan penyerang Mesir itu jatuh ke kedudukan ketiga dalam senarai calon.

Kini, dua pemain Barcelona, Lamine Yamal dan Dembele, mendahului carta anugerah tersebut.

Konate menegaskan keputusan Ballon d’Or tidak patut bergantung kepada perlawanan separuh akhir Liga Negara-Negara antara Perancis dan Sepanyol yang telah dimenangi La Roja.

“Tidak adil jika hanya berdasarkan perlawanan (iaitu aksi separuh akhir Liga Negara-Negara). Apa yang dilakukan oleh Dembele musim ini amat luar biasa. Dia layak menang Ballon d’Or, itu sahaja,” katanya.

Konate turut mengakui kehebatan Lamine Yamal yang masih muda, namun menegaskan pencapaian musim ini harus menjadi keutamaan.

“Yamal memang berbakat besar, mungkin Messi pun belum capai tahap begitu pada usianya. Tapi Dembele telah buktikan segalanya musim ini,” ujarnya.

Dembele melonjak sebagai calon utama selepas membantu Paris Saint-Germain menjulang tiga kejuaraan – Liga 1, Piala Perancis dan Liga Juara-Juara – dengan kemenangan bergaya 5-0 ke atas Inter Milan dalam final.

Sebaliknya, Salah, Yamal dan Raphinha hanya meraih kejuaraan liga bersama kelab masing-masing. Liverpool dan Barcelona juga tidak terlibat dalam Piala Dunia Kelab, satu lagi kelebihan buat Dembele dan PSG.

Statistik menunjukkan Dembele menyumbang 33 gol dan 15 bantuan gol dalam 49 perlawanan musim ini. Namun begitu, jumlah keseluruhan 48 penglibatan gol itu masih belum menandingi rekod Salah yang mencatat 55 penglibatan dalam 53 aksi.

Dalam pada itu, prestasi Salah merosot dalam sembilan perlawanan terakhir musim ini dengan hanya tiga penglibatan gol, sekali gus menjejaskan peluangnya untuk merangkul Ballon d’Or.



Source link

OR

Scroll to Top