September 8, 2024

Deposit RM24.2j hilang: Tiga lagi suspek ditahan

Deposit RM24.2j hilang: Tiga lagi suspek ditahan


KUALA LUMPUR:  Tiga lagi individu ditahan dalam perkembangan terbaharu siasatan kes kehilangan wang berjumlah RM24.2 juta  dari beberapa akaun simpanan sebuah bank.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Komisioner Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, ketiga-tiga suspek terbaharu itu dicekup sehingga pagi tadi di sekitar Sabah.

“Suspek terbaharu itu ditangkap dan diterbangkan ke Sabah untuk tindakan lanjut.

“Tangkapan tiga suspek terbaharu itu menjadikan lapan individu telah ditahan setakat ini termasuk dua pegawai bank,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sejak Khamis lalu, lima suspek berusia antara 30-an hingga 50-an ditahan di sekitar Kota Kinabalu, Sabah dan Perlis selepas disyaki menjadi orang dalam dan melakukan konspirasi dengan sindiket untuk mengeluarkan wang RM24.2 juta dari akaun simpanan pendeposit.

Jelasnya lagi, kesemua suspek kini berada dalam reman selama seminggu untuk membantu siasatan lanjut polis.

“Kita percaya akan ada lebih banyak lagi tangkapan dalam masa terdekat selepas siasatan ke atas lapan suspek yang ditahan selesai nanti.

“Selain memberi fokus kepada siasatan, polis juga berusaha keras untuk mendapatkan kembali wang yang dilaporkan hilang,” katanya lagi.

Ramli berkata, tujuh tangkapan yang dilakukan di Sabah terdiri daripada ahli sindiket serta kakitangan bank.

Setakat ini seorang suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berhubung kes pecah amanah pada 2011.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan penipuan, katanya.

Sabtu lalu, Ramli menerusi satu kenyataan memaklumkan penahanan seorang wanita pegawai sebuah bank di Kota Kinabalu, berhubung kes kehilangan wang dari akaun simpanan pelanggan bank berkenaan berjumlah RM24.2 juta pada 13 Jun lalu.

“Sehari kemudian JSJK menahan seorang lelaki yang dipercayai mendalangi sindiket yang terbabit dalam kejadian ini.

“Siasatan awal polis mendedahkan terdapatnya pembabitan ahli sindiket dari dalam dan luar bank yang bersekongkol bagi urusan pengeluaran wang berkaitan memandangkan ia hanya boleh dilakukan dengan ‘bantuan’ dalaman bank,” kata beliau dalam kenyataan itu.- MalaysiaGazette

Wang dalam akaun hilang babitkan kerugian RM24.2 juta: Polis tahan kakitangan bank



Source link

OR

Scroll to Top