Saya tak pernah suruh sesiapa balik ke negeri asal – Sanusi

Saya tak pernah suruh sesiapa balik ke negeri asal – Sanusi


Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sekali lagi mempertahankan kenyataannya berhubung sejarah Tanah Melayu, sambil mendakwa percakapannya telah diputarbelitkan pihak tertentu sehingga mencetuskan kemarahan dan kekeliruan.

Memetik laporan Free Malaysia Today, Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu berkata, kenyataan yang dibuatnya hanya bertujuan mengingatkan masyarakat mengenai sejarah negara sebagai rujukan, bukannya meminta mana-mana kaum kembali ke negara asal seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Saya pening bila sejarah tidak dapat diterima sebagai satu hakikat…saya takkan nak kena habaq (beritahu) sampai Scottish duduk di Scotland, Swedish duduk di Sweden, Irish duduk di Ireland.
“Saya nak habaq kata tanah ini didiami oleh orang Melayu. Namanya Tanah Melayu. Simple, itu pun tak faham?” katanya ketika menyampaikan ceramah di sini, malam tadi.

Menurut Sanusi, pemahaman terhadap sejarah penting bagi membolehkan masyarakat menilai kejadian masa lalu, memahami situasi semasa serta merancang masa hadapan.

Beliau turut berkata, sejarah Tanah Melayu juga menunjukkan sikap masyarakat terdahulu yang menerima kewujudan pelbagai kaum di negara ini.

Dalam masa sama, Sanusi menafikan dakwaan bahawa kenyataannya mempunyai unsur perkauman, sebaliknya menegaskan kerajaan negeri Kedah di bawah pentadbiran PN sentiasa mengambil berat kebajikan semua golongan.

“Banyaklah benda-benda baik kita buat. Cuma kita buat baik ini tak mahu habaq kat orang.
“Sekolah pondok tak mampu kita tolong, sekolah agama tak mampu kita tolong, sekolah Cina pun tak mampu kita tolong. (Macam) mana kata kita rasis? Tak betul tuan-tuan?” jelasnya.

 

Beliau mendakwa pihak yang memainkan isu berkenaan sengaja mengubah maksud asal ucapannya bagi mencetuskan kebencian serta kekeliruan dalam kalangan rakyat demi kepentingan politik.

Isu itu timbul selepas Sanusi dalam satu ceramah minggu lalu berkata, “Melayu ada Tanah Melayu ini saja. Orang India ada India, orang Cina ada China, orang Kemboja ada Kemboja, orang Siam ada Thailand. Melayu di mana? Melayu di sini saja.”

Berikutan kenyataan tersebut, polis dilaporkan akan memanggil Sanusi dalam masa terdekat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 selepas menerima dua laporan berkaitan.

Artikel lain: “Datuk saya sendiri berasal dari China…” – Sanusi nafi rasis, hanya ingatkan Melayu pertahan tanah air

Sebelum ini, Sanusi mendakwa kenyataannya telah dimanipulasi atas kepentingan politik. Beliau turut memaklumkan surat tuntutan telah dihantar kepada pemimpin PKR, Dr N Sathia Prakash, manakala beberapa individu lain dijangka menerima tindakan sama kerana didakwa memutarbelitkan ucapannya daripada maksud sebenar.

Sumber: Free Malaysia Today (Nur Alif Hazmi)





Source link

OR

Scroll to Top