Kumamoto, Jepun: Sekurang-kurangnya 17 orang maut selepas gempa bumi bermagnitud 7.1 melanda wilayah Kumamoto di barat daya Jepun pada Selasa, sebelum satu letupan besar memusnahkan sebuah pusat beli-belah kira-kira 50 minit kemudian.
Perdana Menteri, Sanae Takaichi menyifatkan operasi menyelamat sebagai ‘perlumbaan melawan masa’.
Beliau berkata, gegaran itu turut menyebabkan kemusnahan meluas di Pulau Kyushu yang pulau ketiga terbesar di Jepun, dan memusnahkan rumah dan menyebabkan puluhan ribu penduduk terputus bekalan elektrik serta air.
Presiden Pusat Beli-Belah Aeon, Akio Yoshida berkata, tiga orang maut di pusat beli-belah di Bandar Kashima, manakala seorang lagi dikhuatiri maut dan tiga lagi masih hilang.
Seorang lagi eksekutif Aeon, Keiji Ohno berkata, punca letupan masih disiasat, namun berkemungkinan disebabkan gas.
Lima orang turut disahkan maut, manakala empat lagi masih belum ditemukan di kilang Nippon Paper Industries di bandar Yatsushiro, selepas sebahagian cerobong asap runtuh.
Jurucakap kerajaan, Minoru Kihara berkata, lebih 9,000 orang mendapatkan perlindungan di 506 pusat pemindahan di tiga wilayah di Pulau Kyushu, setakat awal pagi Rabu.
Beliau berkata, kira-kira 130 anggota polis, 450 anggota bomba dan 170 anggota tentera terbabit dalam operasi menyelamat di Aeon Mall Kumamoto.
Sementara itu, rakaman dari dalam pusat beli-belah menunjukkan anggota penyelamat meredah timbunan besi berpintal, kabel tergantung dan serpihan siling, manakala laporan awal menyatakan antara 20 hingga 30 orang dipercayai terperangkap.
Menurut pegawai, kira-kira 31,200 isi rumah dan premis masih terputus bekalan elektrik pada pagi Rabu, manakala 84,000 rumah mengalami gangguan bekalan air, selain rakaman televisyen menunjukkan orang ramai beratur mendapatkan petrol dan air minuman.
Gempa yang berlaku pada 4.27 petang Selasa itu turut menyebabkan sebuah kereta api kargo terbalik, merobohkan pintu gerbang tradisional ‘torii’ dan merosakkan jalan serta menyebabkan perkhidmatan kereta api laju ‘shinkansen’ sebahagian besarnya masih digantung pada Rabu.
Kumamoto sebelum ini pernah dilanda dua gempa bumi dahsyat pada 2016 yang mengorbankan 273 orang dan mencederakan lebih 2,800 yang lain.
Jepun, yang terletak di atas empat plat tektonik utama di sepanjang Lingkaran Api Pasifik, masih dihantui tragedi gempa bumi dasar laut bermagnitud 9.0 pada 2011 yang mencetuskan tsunami, mengorbankan lebih 19,000 orang dan lebih 2,000 yang lain hilang. Selain itu, bencana itu turut memusnahkan loji nuklear Fukushima.
© New Straits Times Press (M) Bhd






