Dera anak yatim: Pusat jagaan diarah tutup

Dera anak yatim: Pusat jagaan diarah tutup



harisfadli@hmetro.com.my

Kajang: Pusat jagaan di Cheras, di sini, diarahkan tutup susulan dakwaan berlakunya penderaan penghuni kanak-kanak di pusat kebajikan itu baru-baru ini.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam kenyataan berkata, pihaknya memandang serius isu itu dan sudah menjalankan pemeriksaan di premis terbabit semalam.

“Pemeriksaan dijalankan pada 10 April oleh Pegawai Diberi Kuasa (PBDK), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Selangor, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Hulu Langat dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) D11.

“Dua penjaga premis diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Polis Daerah (IPD) Kajang untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, seramai 18 kanak-kanak terdiri daripada 12 lelaki dan enam perempuan dibawa ke Hospital Kajang bagi menjalani pemeriksaan.

Katanya, KPWKM melalui JKM akan terus memantau situasi ini dan akan mengambil langkah susulan yang sewajarnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh disalurkan menerusi talian Kasih 15999 atau WhatsApp ke 0192615999 atau terus ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD).

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top