aslina.abubakar@tv9.com.my
Shah Alam: Penduduk di Jalan Bukit Kemuning, di sini terpaksa berdepan masalah kekurangan infrastruktur sejak hampir tiga dekad yang bagaikan tiada noktah.
Antara situasi yang dihadapi penduduk ialah masalah sampah yang didakwa disebabkan sikap segelintir penduduk yang mengambil mudah mengenai perkara itu.
Lebih memburukkan keadaan apabila sistem perparitan didakwa tidak diselenggara dengan baik menyebabkan longkang mudah tersumbat sekali gus mengundang masalah bau busuk dan banjir.
Keadaan itu turut berisiko mengancam kesihatan penduduk kerana persekitaran yang kotor, malah tidak mustahil berlaku pembiakan nyamuk aedes.
Penduduk, Latha Morghan mendakwa tiada tindakan sewajarnya diambil pihak berkaitan setiap kali isu berkenaan disuarakan.
“Kami macam dianaktirikan kerana setiap kali kami suarakan perkara ini mereka tidak mengambil serius. Kasihan penduduk di sini, contohnya longkang ini langsung tidak selamat,” katanya yang menyuarakan aduan berkenaan kepada TV9.
Seorang lagi penduduk, Yusri Yusoff berkata, mereka juga berdepan masalah jalan rosak, sempit dan tidak mempunyai garisan putih yang merisikokan pengguna jalan raya.
Katanya, jalan raya perlu dibesarkan dengan menebang pokok besar di laluan itu kerana kawasan berkenaan dilalui orang ramai dan kerap berlaku kemalangan maut, namun dakwanya tiada tindakan diambil untuk menyelesaikan masalah.
Dia turut mendakwa terdapat beberapa premis di kawasan itu yang didirikan secara haram dan turut menggesa pihak berkaitan mengambil tindakan penguatkuasaan segera terhadap isu terbabit.
“Kedai yang sampai ke tepi jalan, sampai ke atas longkang macam ini tak boleh nampak.. Jadi kita nak letak kesalahan itu kepada penduduk sangat kita tak boleh, penguat kuasa kenapa tak diambil tindakan?,” katanya.
Sementara itu, Ahli Majlis Perwakilan Penduduk Zon 14, Yogeswari Samynathan berkata, kerja pembersihan sudah dilakukan namun beliau mengakui ia masih tidak memuaskan.
“Saya faham memang jabatan ambil kontraktor untuk bersihkan. Kalau kerja itu memang jalan (dilakukan) dengan betul saya rasa longkang tidak akan berkeadaan macam ini… banyak sampah saja, tersumbat dengan lumpur, keadaan jalan pun sama,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Kemuning, Preakas Sampunathan berkata, semua masalah berkenaan sudah disalurkan kepada pihak berkaitan termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Dalam pada itu, JKR dalam kenyataan berkata, sebanyak RM4.5 juta diperuntukkan bagi kerja penyelenggaraan di kawasan berkenaan merangkumi kerja menurap dan membaiki permukaan jalan selain mengecat garisan jalan serta memasang papan tanda.
Katanya, pihaknya turut mengadakan lawatan ke lokasi berkenaan dan memaklumkan berdepan cabaran dalam melaksanakan penyelenggaraan berikutan akses masuk ke lokasi terbabit tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd