PENGENDALI Perancis, Didier Deschamps percaya Kylian Mbappe mampu memecahkan rekod jaringan sepanjang zaman Piala Dunia selepas penyerang berusia 27 tahun itu meledak dua gol ketika membantu kemenangan 3-0 ke atas Iraq dalam aksi Kumpulan I pada Selasa.
Dua jaringan itu menyaksikan Mbappe kini mengumpul empat gol pada kempen kali ini, sekali gus menyamai rekod 16 gol keseluruhan milik legenda Jerman, Miroslav Klose dan hanya dua gol di belakang Lionel Messi yang menerajui senarai sepanjang zaman.
Deschamps berkata, Mbappe memiliki kemampuan untuk terus menambah jaringan selagi berada pada tahap terbaik, selain menyifatkan penyerang itu sebagai pemain yang sentiasa meningkatkan prestasi setiap kali mencipta kejayaan baharu.
“Rekod memang ada untuk dipecahkan. Dia sudah mencapai angka simbolik 100 penampilan dan sentiasa menjaringkan gol.
“Selagi dia berada di atas padang dan cergas, dia akan terus menjaringkan gol.
“Setiap kali dia memecahkan rekod sendiri, dia akan naikkan lagi tahap permainannya,” kata Deschamps.
Dalam pada itu, aksi Perancis-Senegal turut terganggu akibat hujan lebat yang menyebabkan perlawanan tertangguh hampir tiga jam, dengan Mbappe meledak dua gol dalam tempoh perlawanan yang terpisah.
Deschamps berkata situasi berkenaan mencabar kedua-dua pasukan, namun menegaskan aspek keselamatan menjadi keutamaan.
“Kami hanya menunggu dan cuba kekal bersedia. Yang penting pemain diberi masa untuk melakukan pemanasan semula bagi mengelak risiko kecederaan,” katanya.
Beliau turut menyifatkan keadaan padang yang berat sebagai sesuatu yang luar biasa, namun tidak menjadikannya alasan kepada prestasi pasukan.
Dalam masa sama, Deschamps mempertahankan Ousmane Dembele yang turut mencetak nama sebagai penjaring, sambil menyifatkan pemain itu hanya memerlukan masa untuk menyesuaikan diri semula dengan sistem pasukan.
“Saya percaya kepada Ousmane. Selagi dia cergas, semuanya hanya soal penyesuaian,” katanya.






