Detik getir enam ibu jaga anak hidap osteosarkoma

Detik getir enam ibu jaga anak hidap osteosarkoma


Melihat senyuman dan keceriaan anak-anak mereka, sukar untuk membayangkan enam ibu ini pernah melalui detik paling getir apabila insan tersayang disahkan menghidap osteasarkoma sejenis kanser tulang.

Hari-hari yang dilalui dipenuhi kebimbangan dan air mata, namun harapan untuk melihat anak kembali sihat tidak pernah padam.

Enam ibu ini terus kuat mengiringi setiap langkah rawatan anak-anak, daripada saat menerima diagnosis, menjalani biopsi, pembedahan sehinggalah kemoterapi.

Segala pengorbanan mereka akhirnya terbalas apabila anak-anak yang berusia antara 11 hingga 17 ini berjaya menamatkan rawatan dan kini kembali menjalani kehidupan seperti biasa selepas melepasi ujian besar itu.

Mengimbas kembali detik itu, Nurliyana Abdullah, 40, dari Bandar Baru Bangi, tidak pernah menyangka bengkak pada bahu kiri anak sulungnya pada 2022 akhirnya membawa kepada pengesanan sarkoma.

Pada mulanya, dia menyangka keadaan itu hanyalah kecederaan biasa selepas anaknya terkena bola ketika bersukan.

Namun, selepas lebih dua minggu, bengkak tersebut masih tidak surut malah semakin membesar, sekali gus mencetuskan kebimbangan.

Dalam tempoh sama, Muhammad Amsyar Azlan, 14, kerap mengadu lenguh dan rasa berdenyut pada bahagian berkenaan, terutama pada waktu malam.

“Saya ingatkan ia cuma bengkak biasa dan membawanya berurut namun pengurut itu menyarankan supaya kami membuat X-ray di klinik terlebih dahulu.

“Doktor mendapati hasil X-ray anak saya tidak normal dan meminta saya ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

“Di hospital di Kajang, saya mula rasa cemas apabila melihat sekumpulan pakar ortopedik meneliti laporan berkenaan dan ketika itu saya tahu ada sesuatu yang tidak kena,” katanya ketika ditemui selepas Karnival dan Larian Ceria Semarakkan Minggu Sarkoma 2026 di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), baru-baru ini.

Muhammad Amsyar kemudian dirujuk ke HCTM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), bagi menjalani ujian Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dan biopsi sebelum disahkan menghidap sarkoma ketika berusia 10 tahun.

Nurliyana berkata, anaknya memulakan rawatan dengan dua kitaran kemoterapi sebelum menjalani pembedahan penggantian tulang pada 2023, diikuti empat lagi kitaran kemoterapi.

Kebimbangannya kembali memuncak apabila doktor mengesyaki sel kanser mungkin telah merebak ke paru-paru anaknya.

Namun, pembedahan dan pemeriksaan lanjut mengesahkan ketulan itu bukan kanser.

“Alhamdulillah, kini kehidupannya saya sudah seperti sediakala, bahkan dia juga boleh aktif bersukan termasuk bermain bola, basikal dan badminton.

“Terima kasih kepada pasukan doktor pakar dan seluruh warga HCTM yang banyak membantu dalam rawatan anak saya.

“Walaupun setahun tidak hadir ke sekolah, tetapi dia berjaya mencapai keputusan 8A dalam Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK),” katanya.

Sinar harapan daripada bekas pesakit

Nurshuhada Ahmad Zawawi, 32, dari Sepang hampir hilang arah apabila anak sulungnya disahkan menghidap osteosarkoma pada 2021.

Namun, semangatnya kembali kuat selepas melihat pesakit lain berjaya pulih daripada penyakit sama.

Katanya, simptom Muhammad Syakir Zafri Abdul Rauf, 11, bermula dengan bengkak pada bahu kiri selepas terjatuh daripada basikal.

Keadaan itu berlarutan hingga hampir dua bulan hingga menyukarkan anaknya untuk mengangkat tangan.

Pemeriksaan lanjut di hospital kemudian membawa kepada diagnosis penyakit yang dihidapinya.

“Kes anak saya dirujuk ke HCTM untuk rawatan lanjut sebelum dia menjalani pembedahan, namun kami berdepan cabaran apabila tulang yang diganti tidak bercantum dan memerlukan pembedahan susulan.

“Pembedahan kedua yang menggunakan tulang penderma juga tidak berjaya seperti diharapkan.

“Pada Januari 2023, pakar memutuskan untuk menggunakan tulang kaki anak saya sebagai ganti dan Alhamdulillah pembedahan itu berjaya,” katanya.

Hospital ketika itu ibarat rumah kedua mereka apabila dalam sebulan mereka perlu berulang-alik berkali-kali untuk rawatan.

Perjalanan tersebut bukan mudah terutama apabila perlu melihat anaknya yang masih kecil melalui pelbagai cabaran dalam usaha melawan penyakit berkenaan.

Tiada bengkak, hanya sakit

Berbeza dengan kebanyakan pesakit lain, Nurul Qaleesya Adelia Azlan, 15, tidak mengalami bengkak pada kaki, namun kesakitan yang berpanjangan selepas aktiviti olahraga mencetuskan kebimbangan ibunya.

Haliza Dati, 50, berkata, keadaan itu berlarutan hampir dua bulan sebelum anaknya menjalani pemeriksaan lanjut.

“Bila dia balik dari asrama, saya perasan caranya berjalan sedikit berbeza walaupun tiada bengkak pada kaki kanan.

“Selepas membuat X-ray, doktor mendapati ada sesuatu yang tidak normal sebelum anak saya dirujuk ke HCTM untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Anaknya kemudian memulakan rawatan kemoterapi sebelum menjalani pembedahan pada Februari lalu.

Lenguh selepas larian

Selepas menyertai acara larian 4×400 meter di sekolah, Harith Zulfan Ramizan, 16, menyangka rasa lenguh pada kaki kirinya hanyalah kesan biasa selepas bersukan.

Tidak disangka, kesakitan yang berlarutan itu akhirnya membawa kepada diagnosis kanser tulang pada Oktober 2023.

Ibunya, Norazlina Md. Noor, 54, anaknya kemudian menjalani pembedahan penggantian tulang pada November tahun sama tanpa melalui rawatan kemoterapi terlebih dahulu.

“Doktor memaklumkan kanser anak saya tidak agresif maka sebab itu dia tidak memerlukan kemoterapi.

“Walaupun sudah tiga tahun berlalu, dia masih berdepan sakit dan baru sehari kembali ke sekolah untuk tingkatan 4,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top