London: Badan induk bola sepak England (FA) menarik balik sokongan terhadap Presiden FIFA, Gianni Infantino, bagi pemilihan semula jawatan itu, lapor The Athletic.
FA dalam satu kenyataan meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Infantino susulan percubaannya yang gagal untuk menjual pegangan sebanyak 21 peratus dalam operasi komersial dan penganjuran acara FIFA kepada pelabur swasta.
“Sudah tiba masanya satu semakan penuh dan menyeluruh dilakukan terhadap kepimpinan serta tadbir urus FIFA bagi memastikan badan bola sepak dunia itu diurus secara telus demi kepentingan kesemua 211 negara anggota, dengan masa depan bola sepak menjadi keutamaan,” menurut kenyataan FA.
Infantino, 56, memegang jawatan Presiden FIFA sejak Februari 2016 dan bakal mempertahankan kedudukannya dalam pemilihan tahun depan. Beliau sebelum ini menang tanpa bertanding pada pemilihan 2019 dan 2023.
Pada hari yang sama, persatuan bola sepak Wales dan Serbia turut mengumumkan penarikan semula sokongan mereka terhadap Infantino.
“Kami ingin mengingatkan bahawa kami sudah memberikan sokongan bertulis kepada Infantino pada 25 Mei lalu.
“Namun, selepas meneliti dengan teliti beberapa peristiwa yang menjejaskan reputasi FIFA dan presidennya sejak kebelakangan ini, kami berpendapat langkah ini adalah keputusan paling logik dan wajar,” kata Persekutuan Bola Sepak Serbia (FSS) dalam satu kenyataan.
Pencalonan bagi mana-mana individu yang ingin mencabar Infantino perlu dikemukakan selewat-lewatnya pada 18 November.
Presiden CONCACAF yang juga Naib Presiden FIFA, Victor Montagliani, dijangka akan menawarkan diri bertanding bagi jawatan Presiden FIFA.
© New Straits Times Press (M) Bhd






