MELAKA: Tiga rakan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memukul seorang lelaki hingga parah menggunakan cota besi dan kayu snuker di sebuah pusat hiburan di Melaka Raya pada 6 Disember lalu.
Tertuduh, Muhammad Daniel Ramlie Abdullah, 24; Hirman Mohtar, 40, dan Norashikin Hasim, 48, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua tertuduh bersama tiga lagi yang masih bebas telah mencapai niat mendatangkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki berusia 31 tahun dengan menggunakan cota besi dan kayu snuker iaitu alat yang jika digunakan sebagai senjata mungkin menyebabkan kematian.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 3 pagi di sebuah pusat hiburan di Jalan Merdeka, Melaka Raya dalam daerah Melaka Tengah pada 6 Disember 2024.
Sabit kesalahan ketiga-tiga tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan dikenakan denda atau sebat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Timbalan Pendakwa Raya Azfar Mahmud mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 seorang kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius.
Peguam S. Daniel merayu jaminan rendah dengan alasan anak-anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap.
Mahkamah membenarkan ketiga-tiga tertuduh diikat jamin RM10,000 seorang dan menetapkan 3 Februari depan untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen.
Sementara itu, dalam prosiding berasingan di Mahkamah Majistret, kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki dan wanita berusia 36 dan 22 tahun menggunakan senjata serupa pada tarikh, waktu serta lokasi sama.
Bagi kesalahan itu, kesemua tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman tersebut, jika disabitkan kesalahan.
Majistret Khairunnisak Hassni memerintahkan setiap tertuduh diikat jamin RM4,000 seorang. – UTUSAN