Ewe Hock beri 'nyawa kedua' kepada Jacky

Ewe Hock beri 'nyawa kedua' kepada Jacky



sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ong Ewe Hock sekali lagi meneruskan misi menyelamat bagi pemain badminton yang digugurkan daripada skuad negara.

Kali ini, dia menyelamatkan pemain perseorangan lelaki, Jacky Kok yang berada di ranking ke-101 dunia dan pernah dianggap sebagai pengganti kepada Datuk Lee Chong Wei oleh bekas jurulatih negara, Datuk Misbun Sidek.

Namun, dia digugurkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Oktober tahun lalu.

Ewe Hock yang pernah muncul juara Terbuka Malaysia sebanyak dua kali dan kini menguruskan Kelab Badminton Serdang (Serdang BC), sedia membantu Jacky meneruskan karier di peringkat antarabangsa.

Malah, Ewe Hock mendapatkan penajaan bagi membolehkan Jacky, 23, bertanding di Jelajah Dunia.

Bagaimanapun, dia menegaskan Jacky mesti memenuhi Penunjuk Indek Prestasi (KPI) ditetapkan buatnya iaitu berada dalam kelompok 50 terbaik dunia menjelang hujung tahun ini.

“Jacky menghubungi saya selepas digugurkan daripada BAM dan dia masih muda.

“Saya membantunya mendapatkan penajaan selama setahun untuk bertanding di lapan hingga 10 kejohanan Jelajah Dunia,” kata Ewe Hock.

“Kontrak setahun itu hadir bersama KPI apabila dia mesti meningkatkan prestasi dan berada dalam kelompok 50 pemain terbaik dunia.

“Ini adalah peluang kedua buatnya dan dia perlu menunjukkan usaha untuk menjadi pemain badminton bebas.

“Jacky berlatih dengan saya empat atau lima kali seminggu dan terpulang kepadanya untuk memanfaatkan peluang ini untuk memberi impak sebagai pemain bebas.”

Jacky bermain di Masters Korea, November lalu dan Masters Thailand, minggu lalu apabila dia tewas di pusingan kedua di kedua-dua kejohanan.

Ewe Hock kerap membantu bekas pemain kebangsaan yang digugurkan dengan membenarkan mereka menggunakan kemudahan di Serdang BC, selain membantu mereka mendapatkan penajaan.

Misalnya, pemain nombor 55 dunia, Cheam June Wei tiada penaja pada 2023 dan Ewe Hock membantunya mendapatkan penajaan.

Ia membolehkan June Wei meneruskan kariernya dan tahun lalu, dia mendapat peranan sebagai rakan pelatih kepada pemain perseorangan lelaki BAM.

June Wei kini berlatih di Serdang BC secara separuh masa, selain rakan pelatih di BAM dan terus bertanding di Jelajah Dunia.

Selain Jacky, seorang lagi pemain yang digugurkan oleh BAM, Chuah Kim Sheng (ranking 202 dunia), turut berlatih di bawah kendalian Ewe Hock secara sambilan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top