Selebriti terkenal, Neelofa berkongsi pendekatan yang diamalkan bersama suaminya, Haris Ismail atau lebih dikenali sebagai PU Riz dalam mendidik dua cahaya mata mereka, Muhammad Bilal dan Abdullah Abbas agar membesar dengan nilai keagamaan serta disiplin yang kukuh.
Menurut Neelofa, antara perkara utama yang diterapkan adalah kefahaman bahawa segala yang dimiliki di dunia hanyalah pinjaman daripada Allah SWT.
“Ajar perlahan-lahan kepada mereka bahawa segala yang ada ini adalah milik Allah supaya bila besar nanti mereka senang faham,” katanya.
Tidak terlepas berdepan cabaran sebagai ibu bapa terutamanya di zaman moden ini, Neelofa berkata, penggunaan gajet dalam kalangan anak-anak tetap dikawal rapi.
“Kita pun tidak terkecuali, kita bagi juga mereka tengok televisyen dan menggunakan gajet. Tapi, saya dan Haris memang kawal penggunaan mereka dengan mengajar mereka meminta izin terlebih dahulu.
“Sehingga kini mereka masih melakukannya. Kedua, kami tetapkan had limit masa dan sentiasa ingatkan mereka dengan cara kiraan masa. Dengan cara itu mereka tahu ada kiraan detik itu.
“Mereka juga tidak akan mengamuk kerana mereka sudah tahu ada had masa untuk bermain gajet,” jelasnya ketika ditemu bual bersama Nana Mahazan dan Faizal Ismail menerusi Zayan FM.
Berkongsi lanjut, bekas pengacara program popular di TV3, Nona itu berkata, anak sulungnya, Bilal kini mula memahami konsep tersebut apabila sering diingatkan bahawa alam semesta adalah milik Sang Pencipta.
“Seperti Bilal, dia baru mula nak faham. Saya selalu ingatkan dia bahawa segala yang ada adalah milik Allah. Saya selalu cakap bahawa langit, matahari dan bulan itu Allah yang punya.
“Sebab kadang-kadang dia minta langit gelap pada siang hari, mahukan matahari dan bulan jadi saya fahamkan dia tentang itu,” kongsinya.
Sementara itu, Haris meluahkan rasa kagum terhadap kesungguhan Neelofa dalam mendisiplinkan anak-anak mereka, termasuk membiasakan amalan zikir setiap pagi.
“Yang bagusnya, setiap pagi Neelofa dan anak-anak amalkan zikir pagi. Macam saya tidak lakukan sangat.
“Mereka sudah ingat zikir tersebut dari buku ke buku dengan turutan nombornya sekali. Kalau salah nombor itu mereka akan betulkan. Itulah Neelofa yang banyak amalkan amalan zikir pagi.
“Itu juga cara nak mengingat mereka tentang kematian supaya dia bersedia dengan sebarang cabaran pada hari itu. InsyaAllah dilindungi,” ujarnya.
Sumber: TikTok






