Pelakon, Datin Intan Najuwa akhirnya tidak lagi berdiam diri apabila mendakwa menjadi mangsa gangguan berterusan daripada seorang individu tidak dikenali sejak beberapa bulan lalu.
Menerusi hantaran di aplikasi Threads, Intan atau nama lengkapnya, Intan Najuwa Abdul Wahid itu memaklumkan dia sudah membuat laporan polis selepas mendakwa individu terbabit semakin melampaui batas.
Menurut Intan, individu yang dipercayai seorang lelaki itu didakwa mencipta beberapa akaun palsu di media sosial semata-mata untuk mengganggu dan memprovokasi dirinya secara berterusan.
“Tak payahlah layan orang gila dekat Threads tu. Saya dah buat laporan polis dan orang di sebalik akaun itu sebenarnya seorang lelaki,” katanya.
Intan turut mendakwa gangguan berkenaan tidak hanya berlaku di media sosial, malah individu terbabit dikatakan bertindak lebih melampau apabila cuba mengganggu urusannya di luar.
Dakwanya, lelaki berkenaan sanggup menghubungi pejabat Kelab Polo berkali-kali selepas mengetahui dia berada di lokasi tersebut, hanya untuk mengganggunya.
“Dia dah kacau saya berbulan-bulan. Bukan setakat buat banyak akaun palsu untuk spam dan kacau saya.
“Dia siap telefon pejabat Kelab Polo tak henti-henti bila tahu saya ada dekat sana semata-mata nak ganggu saya. Benda ini jadi hampir setiap hari,” katanya.
Susulan gangguan yang berlarutan, aktres drama Racun Rihanna berkata dia kini menyerahkan sepenuhnya perkara itu kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
“Saya dah buat keputusan untuk biarkan pihak berkuasa uruskan hal ini sekarang,” katanya.

Terdahulu, kecoh di media sosial apabila seorang individu secara terbuka melemparkan pelbagai tuduhan terhadap Intan, termasuk mendakwa pelakon itu sering ‘menyusahkan’ dan kerap meminta pelbagai barangan mewah serta hadiah daripada suaminya.






