Pengacara dan personaliti media sosial, Kelly Azman tampil menjelaskan isu video kompilasi lagu cover yang dikongsikannya baru-baru ini sehingga mengundang kecaman netizen.
Video tersebut memaparkan tiga lagu iaitu Lemah nyanyian Dayang Nurfaizah, Kamu oleh Aina Abdul dan Nurcinta nyanyian Amir Masdi yang berjaya mara ke pentas Anugerah Juara Lagu 40 (AJL40).
Screenshot
Screenshot
Screenshot
Menurut Kelly, ramai tidak mengetahui bahawa ketiga-tiga lagu tersebut sebenarnya telah lama dirakam sebagai cover olehnya sebelum diumumkan sebagai finalis AJL.
“Lagu-lagu itu sebenarnya saya sudah cover sejak tahun lalu lagi. Cuma ramai yang tak tahu kerana ia dibuat sebelum lagu tersebut layak ke AJL,” katanya.
Tambahnya, perkongsian semula video tersebut dibuat sebagai tanda sokongan terhadap karya tempatan yang berjaya mendapat pengiktirafan.
“Saya rasa bangga bila lagu yang saya pernah nyanyikan semula berjaya ke pentas AJL. Sebagai peminat muzik tempatan, ini cara saya tunjuk sokongan kepada artis dan karya mereka,” ujarnya.
Bagaimanapun, Kelly mengakui kecewa apabila usahanya itu disalah tafsir segelintir pihak yang tampil mengkritik.
“Apa yang saya buat ini adalah usaha saya untuk menghargai karya mereka. Jadi bila ada yang kecam, saya tertanya juga apa sebenarnya masalah mereka,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Gigih Buat Cover Lagu, Kelly Azman Sangkal Dakwaan Jahanamkan Karya Penyanyi Popular – “Tunggu, Ada 14 Lagu Lagi”
Menurut Kelly lagi, setiap individu berhak berkongsi kandungan selagi ia membawa perkara positif.
“Kita bebas untuk lakukan sesuatu selagi ia memberi kebaikan. Dalam kes ini, saya cuma nak menghargai bakat tempatan. Tak perlu pun nak kecam,” jelasnya.
Kelly turut menegaskan tindakannya membuat cover lagu adalah sebagai tanda penghargaan terhadap penyanyi asal seperti Dayang Nurfaizah, Amir Masdi dan Aina Abdul.
“Saya memang buat cover sebab saya hargai bakat mereka. Bagi saya, ketiga-tiga lagu itu memang antara yang terbaik,” katanya.
Dalam masa sama, Kelly turut mengimbas kembali pengalaman lalu apabila beberapa lagu yang pernah dinyanyikan semula olehnya sebelum ini turut berjaya mara ke pentas AJL.
“Tahun lepas pun saya pernah cover lagu Bukan Lagi Kita oleh Nadeera dan Diam nyanyian Hael Husaini, dan kedua-duanya juga ke AJL. Jadi bagi saya, lagu yang saya pilih memang lagu yang kuat,” ujarnya.
Sehubungan itu, Kelly berharap orang ramai dapat melihat usahanya dari sudut positif dan tidak terus melemparkan kritikan tanpa memahami tujuan sebenar.
“Saya harap selepas ini tak perlulah kecam lagi. Apa yang saya buat hanyalah untuk menyokong industri muzik tempatan,” katanya.






