JessC Cipta Nama Di Pentas Global, Karya Pelbagai Bahasa Terima Pengiktirafan Antarabangsa

JessC Cipta Nama Di Pentas Global, Karya Pelbagai Bahasa Terima Pengiktirafan Antarabangsa


Artis Malaysia yang menempa tempat di persada antarabangsa, JessC sekali lagi melakar kejayaan di peringkat antarabangsa apabila karya muzik pelbagai bahasanya terus mendapat pengiktirafan global.

Menerusi sidang media yang diadakan hari ini, JessC berkongsi pencapaian terbaharu selain merakamkan penghargaan kepada media tempatan serta wakil media dari lebih 30 negara atas sokongan berterusan terhadap kerjayanya.

Menurut JessC, antara pencapaian membanggakan adalah apabila platform muzik antarabangsa Rolling Stone edisi Australia dan United Kingdom menamakan dirinya sebagai “New Artists to Watch”.

“Pengiktirafan ini sangat bermakna buat saya. Ia memberi semangat untuk terus membawa muzik Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Tambahnya, karya-karyanya kini dimainkan di pelbagai negara termasuk China, Amerika Syarikat, Eropah, Indonesia dan Australia, malah berjaya menembusi carta radio di China dan Indonesia.

“Bila lihat lagu saya diterima di pelbagai negara, saya rasa bersyukur. Ini membuktikan muzik mampu melangkaui bahasa dan budaya,” ujarnya.

Dari segi pencapaian, JessC turut meraih pelbagai anugerah di InterContinental Music Awards dan LIT Music Awards, termasuk kemenangan “Best Asian Pop” menerusi lagu My Style serta anugerah Platinum “Best World Music” bagi lagu Expose, Mari Menari Raya dan My Style.

Selain itu, lagu One Chance turut membawa pulang anugerah “Best Song” dan “Best New Artist”, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai artis Malaysia yang semakin dikenali di peringkat global.

JessC mengakui tidak menyangka karya dalam tiga bahasa yang dihasilkannya mampu diterima secara meluas oleh pendengar antarabangsa.

“Saya tak jangka lagu dalam pelbagai bahasa boleh sampai sejauh ini. Ini bukti muzik boleh menyatukan orang tanpa mengira latar belakang,” katanya.

Dalam masa sama, JessC turut menzahirkan penghargaan kepada rakan kolaborasi, AC Mizal, apabila lagu Raya mereka berjaya menembusi pasaran antarabangsa termasuk di Emiriah Arab Bersatu, radio di United Kingdom serta Amerika Selatan.

Menurutnya, video Satu Suara Raya turut menerima jemputan ke festival filem pendek di Jepun, sekali gus membuka ruang memperkenalkan budaya Malaysia kepada dunia.

Majlis tersebut turut diserikan dengan sambutan rumah terbuka Aidilfitri serta meraikan kemenangan di ICMA dan LIT Music Awards. Acara menjadi lebih meriah dengan persembahan artis tempatan seperti Kelly Azman, Syafiq Ikhwan, Fareez Hazwan Fauzi dan Zaki Yamani yang tampil berkolaborasi di pentas.

Menariknya, selain aktif dalam bidang seni, JessC juga mempunyai latar belakang dalam sukan apabila pernah meraih 12 pingat emas dan lima perak dalam wushu di China dan Hong Kong, selain mengumpul 20 pingat emas dan lapan perak dalam sukan ping pong di Australia.

JessC turut berkongsi minatnya terhadap lagu-lagu Raya Malaysia dan hasrat untuk membawa elemen budaya tersebut ke pentas antarabangsa.

“Saya memang sukakan lagu Raya Malaysia dan mahu memperkenalkannya kepada dunia supaya lebih ramai mengenali budaya kita,” katanya.

Mengakhiri sidang media, JessC merakamkan penghargaan kepada pasukan, peminat serta keluarga atas sokongan berterusan dan bertekad untuk terus mengembangkan kerjayanya di peringkat global.

“Saya akan terus berusaha untuk membawa muzik Malaysia ke tahap lebih tinggi sambil menyampaikan mesej positif dan budaya melalui karya saya,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top