SINGAPURA: Selepas menunggu tiga tahun, kapal persiaran Disney pertama di Asia, Disney Adventure, kini bersedia menyambut penumpang.
Menjejakkan kaki ke atas kapal, penumpang seolah-olah berada di sebuah taman tema terapung.
Kapal ini boleh menampung sehingga 6,700 orang dan menawarkan lebih 20 tempat makan, lapan pertunjukan langsung, roller coaster serta pertunjukan bunga api di laut.
Berbeza dengan kapal Disney lain, Disney Adventure tidak singgah di mana-mana pelabuhan.
Kapal lain dalam rangkaian Disney Cruise Line (DCL), yang beroperasi di negara seperti Australia dan Amerika Syarikat, biasanya singgah di pelabuhan supaya penumpang boleh turun.
Kali ini, kapal itu sendiri dijadikan destinasi.
Direka khas untuk pasaran Asia, kapal ini mempamerkan seni, makanan dan hiburan tempatan.
Hidangan seperti kebab, kari dan mi boleh didapati di semua restoran, manakala bunga kebangsaan Singapura, Vanda Miss Joaquim, turut menghiasi bahagian belakang kapal di antara watak Disney.
Menurut Ketua Pegawai Kreatif Walt Disney Imagineering, Bruce Vaughn, kapal ini mengekalkan romantik era 1930-an dalam persiaran, dengan palet warna elegan, tingkap bulat, cerobong dan haluan kapal yang menyerlahkan keindahan klasik pelayaran.
Disney Adventure tiba di Singapura pada 3 Mac dan diberi nama rasmi oleh pelakon Amerika Robert Downey Jr pada 4 Mac.
Kapal ini akan memulakan pelayaran sulung untuk umum pada 10 Mac.
Sebagai persediaan untuk pelayaran sulung, The Straits Times berpeluang mengalami sendiri apa yang ditawarkan kapal ini dalam pelayaran pratonton empat malam.
Berikut adalah pandangan pertama terhadap tujuh zon bertema di atas kapal.
Marvel Landing
Terletak di dek atas, Marvel Landing menampilkan watak-watak daripada Marvel Cinematic Universe.
Tiga permainan utama ialah Pym Quantum Racers (bumper car), Groot Galaxy Spin (kapal angkasa mini berputar) dan Ironcycle Test Run, roller coaster terpanjang di laut sepanjang 250m.
Muzik heroik bergema di seluruh zon, menjadikan suasananya seolah-olah berada dalam adegan filem Marvel.
San Fransokyo Street
Pengunjung di zon arked dalaman San Fransokyo Street, yang diilhamkan daripada Big Hero 6. – FOTO Jason Quah
Diinspirasikan daripada Big Hero 6, zon ini direka menyerupai jalan Jepun futuristik yang dipenuhi arked permainan, kedai ramen gergasi serta lampu berbentuk Baymax.
Tarikan utamanya ialah Hiro Training Zone, iaitu lantai digital interaktif yang sering dipenuhi pengunjung.
Selain itu, gerai kecil dan kedai cenderamata di sekitar kawasan tersebut menambahkan suasana seolah-olah pengunjung sedang berada di sebuah bandar futuristik sebenar.
Disney Imagination Garden
Terletak di tengah kapal, kawasan ini berbentuk “canyon” dengan pentas besar di tengah, menjadi lokasi enam pertunjukan langsung termasuk Avengers Assemble dan Duffy And The Friend Ship.
Stateroom Garden View menawarkan pemandangan terus ke pentas, membolehkan penumpang menikmati pertunjukan dari bilik mereka.
Di sekeliling taman pula, watak Disney seperti Cheshire Cat dari Alice in Wonderland dan Mushu dari Mulan boleh ditemui, menjadikan pengalaman lebih interaktif dan menyeronokkan.
Selain itu, kawasan ini dihiasi dengan tanaman hijau dan pokok-pokok yang ditata cantik, manakala gerai makanan seperti Mowgli’s Eatery (hidangan India) dan Gramma Tala’s Kitchen (hidangan Asia Pasifik) turut disediakan.
Kebanyakan makanan dan minuman termasuk dalam tambang pelayaran, memudahkan penumpang untuk bersantai sambil menikmati suasana taman.
Disney Discovery Reef
Zon ini diilhamkan daripada The Little Mermaid dan Finding Nemo, dihiasi dengan dinding biru tinggi, terumbu karang, pasir dan pokok akuatik.
Di siang hari, cahaya semula jadi memenuhi ruang, manakala malamnya lampu lembut mencipta suasana seperti bioluminesensi.
Di samping itu, gerai seperti Cosmic Kebabs dan Bewitching Boba and Brews menambah keseronokan pengunjung yang ingin bersantai
Town Square
Sementara itu, Town Square di Dek 6 menjadi pusat aktiviti utama, dengan siling memaparkan 13 puteri Disney termasuk Jasmine, Mulan, Elsa dan Anna.
Di sini juga terdapat pentas kecil dan skrin besar yang menampilkan kemunculan watak serta persembahan muzik langsung.
Di samping itu, Walt Disney Theatre bersama beberapa restoran dan gerai makanan turut berada di kawasan ini, menjadikannya salah satu tumpuan utama penumpang.
Toy Story Place
Sebuah gelongsor di Toy Story Place, kawasan permainan air untuk kanak-kanak. – Jason Quah
Tidak cukup dengan itu, satu lagi tarikan buat kanak-kanak di kawasan luar yang dihiasi dengan watak-watak Toy Story.
Gelongsor Woody dan Jessie serta gerai makanan seperti Pizza Planet dan Wheezy’s Freezies Quick menjadikan zon ini sesuai untuk keluarga.
Wayfinder Bay
Wayfinder Bay di Disney Adventure menyerupai sebuah amfiteater kecil yang mesra pengunjung. – FOTO Jason Quah
Lebih menarik, di ruangan dek atas yang terbuka, Wayfinder Bay kelihatan seperti sebuah amfiteater kecil yang mesra pengunjung.
Sebuah kolam terletak di hadapan tempat duduk bertingkat yang mengelilingi pentas, di mana filem Disney Moana (2016) akan dipentaskan secara langsung.
Selain itu, pertunjukan muzik langsung turut diadakan membolehkan penumpang bersantai di bawah cahaya matahari pada waktu siang atau menikmati angin sejuk pada waktu malam.
Pengalaman ini adalah bahagian pertama daripada siri dua bahagian yang membawakan pengalaman lengkap di Disney Adventure.
Artikel seterusnya akan membongkar aktiviti wajib di atas kapal, akan diterbitkan pada 9 Mac.
Artikel ini kali pertama disiarkan di The Straits Times dan diterbitkan semula di Berita Harian dengan izin.
© New Straits Times Press (M) Bhd






