June 14, 2024

Dompet, telefon bimbit Akhyar dilarikan



mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemain bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid didakwa kehilangan telefon bimbit dan dompet dalam kejadian samun, malam tadi.

Kejadian dipercayai berlaku di sebuah kondominium di Kuala Terengganu ketika pemain terbabit baru saja pulang dari makan malam.

Dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, Akhyar, 25, yang baru saja turun dari kereta dipukul dengan senjata dipercayai cota di bahagian kepala dan badan oleh suspek yang tak dikenali.

Difahamkan, suspek turut merampas dompet dan telefon bimbit milik mangsa sebelum melarikan diri.

Mangsa yang cedera kemudian dikejar ke unit kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk mendapatkan rawatan.

Akhyar yang juga dikenali sebagai Mat Yar cedera di kepala akibat daripada kejadian itu.

Bagaimanapun, Akhyar dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Berdasarkan video yang tersebar dalam media sosial termasuk Facebook dan WhatsApp, pemain kelahiran Kedah itu dikatakan sedang berada di sebuah pusat perubatan untuk mendapatkan rawatan.

Punca kejadian masih lagi tidak diketahui sama ada bermotifkan rompakan atau dendam manakala keadaan terkini pemain itu juga masih menjadi tanda tanya.

Akhyar menyertai Terengganu FC (TFC) pada Februari lalu secara pinjaman dari juara Liga Super 10 kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Dia yang beraksi di bahagian serangan menjadi sandaran skuad Penyu untuk bergandingan bersama seorang lagi pemain yang dipinjam dari Harimau Selatan, Safawi Rasid.

Sehingga kini tiada laporan polis dibuat oleh pemain berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top