June 14, 2024

Suara ajak boikot PRK KKB tidak produktif – Hannah


HULU SELANGOR – Pengundi berketurunan India di Kuala Kubu Baharu (KKB) diminta supaya tidak mendengar suara yang menggesa mereka supaya memboikot Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan berlangsung pada 11 Mei ini.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Hannah Yeoh berkata, gesaan yang dibuat oleh beberapa pihak bersifat tdak produktif dalam membantu membina Malaysia.

“Ada banyak suara dan tekanan yang memberitahu anda untuk berundur ke belakang boikot pilihan raya ini. Jangan keluar mengundi. Pusingkan keputusan anda dengan duduk di rumah tanpa berbuat apa-apa.

“Suara seperti ini tidak produktif. Tidak membantu membina apa-apa di Malaysia. Anda tahu leluhur kita, mereka yang terdahulu berjuang habis-habisan untuk mendapatkan hak mengundi untuk semua rakyat Malaysia.

“Untuk mereka yang berusia 18 tahun terlalu banyak yang telah dilakukan untuk memastikan mereka boleh mengundi,” kata Hannah.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Perpaduan Sempena Hari Pekerja di Dewan Serbaguna Chuang Rasa, Selangor malam tadi yang dihadiri oleh masyarakat India setempat.

Turut hadir Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Presiden DAP Lim Guan Eng.

Sebelum ini terdapat beberapa pihak secara terbuka meminta pengundi India merosakkan undi masing-masing semasa PRK tersebut.

Ini termasuk Presiden Pertubuhan Rapat Aman Malaysia A Rajaretinam yang berkata, tindakan itu adalah sebagai cara menghantar mesej tidak puas hati mereka kepada kerajaan pusat khususnya DAP.

Selain itu sebuah parti India yang baru ditubuhkan, Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) turut menggesa pengundi untuk memboikot calon Pakatan Harapan (PH) Pang Sock Tao

“Jika anda duduk di rumah dan mematuhi suara negatif daripada mereka yang tidak tinggal di sini, memberitahu duduk rumah dan boikot ia tidak membantu anda daripada apa-apa.

“Bila mereka meminta anda tidak berbuat sesuatu ia hanya membawa anda ke belakang, tidak memberi apa-apa pengupayaan kepada anda,” tegas Menteri Belia dan Sukan itu.

Pengundi India membentuk 18 peratus daripada keseluruhan 40,226 pengundi yang layak mengundi pada PRK ini.

Pada 4 April lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan PRK berkenaan akan diadakan pada 11 Mei manakala hari penamaan calon pula pada 27 April.- MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top