Nairobi: Kenya dan Tanzania bersiap sedia menghadapi taufan berikutan hujan lebat yang memusnahkan Afrika Timur yang membunuh lebih 350 orang serta memaksa puluhan ribu penduduk meninggalkan rumah masing-masing.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan, banjir itu meragut 188 nyawa di Kenya sejak Mac lalu selain menyebabkan 165,000 orang kehilangan tempat tinggal dengan 90 mangsa lagi dilaporkan hilang.
Kerajaan turut memberi amaran kepada penduduk supaya berjaga-jaga.
“Yang penting, kawasan pantai berkemungkinan akan mengalami Taufan Hidaya, yang akan mengakibatkan hujan lebat, ombak besar dan angin kencang yang boleh menjejaskan aktiviti marin di Lautan Hindi,” kata pejabat Presiden Kenya William Ruto.
Negara jiran Tanzania yang menyaksikan sekurang-kurangnya 155 orang terbunuh dalam banjir dan tanah runtuh juga dijangka merasai kekuatan Hidaya.
“Kehadiran Siklon Hidaya… dijangka akan mendominasi dan menjejaskan corak cuaca di negara ini termasuk hujan lebat dan angin kencang di beberapa Wilayah berhampiran Lautan Hindi,” kata Persatuan Palang Merah Tanzania di platform X.
Jabatan Meteorologi Kenya dalam X memberitahu, ibu kota Kenya, Nairobi antara kawasan yang dijangka mengalami hujan lebat dalam tempoh tiga hari akan datang sekali gus amaran angin kencang dan ombak laut besar di sepanjang pantai negara itu.
Jabatan itu menggesa penduduk supaya berwaspada terhadap banjir kilat dan petir dengan angin kencang boleh meniup bumbung, mencabut pokok dan menyebabkan kerosakan lain.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merekodkan, hujan yang lebih lebat daripada biasa juga meragut sekurang-kurangnya 29 nyawa di Burundi dengan 175 orang cedera, dan puluhan ribu orang kehilangan tempat tinggal sejak September tahun lalu.
Hujan juga dikuatkan dengan corak cuaca El Nino, fenomena iklim secara semula jadi yang biasanya dikaitkan dengan peningkatan haba di seluruh dunia, membawa kepada kemarau di beberapa bahagian dunia dan hujan lebat di tempat lain.
© New Straits Times Press (M) Bhd