mhafis@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sindiket penggodaman Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) bersekongkol dengan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dengan menyediakan peranti dongle (USB khas) untuk dipasang di komputer sebelum meluluskan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) secara tidak sah.
Dongle tertentu sering digunakan dalam kegiatan penggodaman keselamatan siber dengan bertindak sebagai perkakasan khas bagi menguji kelemahan sistem, memintas rangkaian, atau meniru isyarat komunikasi.
Mendedahkan perkara itu, Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, kegiatan itu sudah dikesan pihaknya sejak Mei lalu.
“Susulan itu, JIM bersama CyberSecurity Malaysia (CSM) mula menjalankan risikan dan siasatan yang turut membabitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.
Beliau berkata, pegawai yang bersekongkol dalam kegiatan itu mendapat peranti dongle oleh ejen sindiket sebelum dipasang di komputer mereka.
“Selepas itu, mereka akan membuat ID palsu dan memulakan proses meluluskan PLKS menggunakan ID palsu itu.
“Jadi tanpa peranti dongle itu, kegiatan sindiket tidak dapat dilakukan dan kita mengesahkan pegawai terbabit dalam perbuatan itu,” katanya kepada Harian Metro.
Beliau berkata, siasatan masih berjalan dan pihaknya tidak boleh membuat pendedahan lebih lanjut.
Menerusi kerjasama itu, SPRM menumpaskan kegiatan penggodaman MyIMMs berkaitan proses permohonan serta kelulusan PLKS secara tidak sah dengan penahanan 12 individu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, menerusi Ops Crack, mereka yang ditahan terdiri daripada dua pengarah syarikat, tiga warga asing, empat pegawai JIM, dua pegawai Bahagian Teknologi Maklumat JIM serta seorang pegawai polis.
Katanya, semua suspek berusia lingkungan 30 hingga 40-an ditahan antara jam 2 hingga 5 petang kelmarin di Ibu Pejabat SPRM dan JIM Pulau Pinang.
“Hasil siasatan awal mendapati sindiket ini menggunakan kuota PLKS tahun 2011 tanpa membuat bayaran levi pas yang dikeluarkan.
“Sebanyak 1,306 PLKS palsu dikeluarkan, menyebabkan kerugian kepada kerajaan dianggarkan sebanyak RM2.4 juta,” katanya.
Katanya, operasi itu adalah hasil perkongsian maklumat risikan antara Bahagian Perisikan SPRM dan Bahagian Perisikan JIM yang dilaksanakan sejak Mei lalu di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang.
“Turut membantu dalam operasi ini ialah CSM, Telekom Malaysia dan Bahagian Forensik Teknologi (BFT) SPRM.
“Penggeledahan turut dijalankan di premis syarikat serta pejabat JIM di Pulau Pinang dan Putrajaya,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan 16(a) Akta SPRM 2009.
© New Straits Times Press (M) Bhd






