SEREMBAN: Penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu mahu melihat seorang pemimpin baharu yang muda, berwibawa dan bertenaga bagi memastikan agenda pembangunan dapat digerakkan dengan lebih pantas serta berkesan.
Mereka percaya ciri-ciri tersebut dimiliki calon Barisan Nasional (BN), Siti Nur Umaira Hasim, 36, atau lebih mesra disapa Maira, yang diyakini mampu membawa nafas baharu kepada DUN berkenaan.
Satu-satunya calon daripada Puteri UMNO Malaysia yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini itu turut dilihat berkemampuan mewakili suara masyarakat setempat hasil pengalaman yang ditimba sepanjang penglibatannya dalam sayap parti berkenaan.
Penduduk di Tiara Sendayan di sini, Johari Kassim, 63, berkata, Maira juga dikenali sebagai anak kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu, Datuk Hasim Rusdi yang pernah berkhidmat selama dua penggal di kawasan tersebut.
Menurutnya, Maira dilihat mewarisi bakat kepimpinan bapanya yang telah lama dikenali dan dihormati oleh masyarakat setempat.
“Berilah peluang kepada calon muda kerana jika bakat kepimpinannya terus digilap, saya yakin beliau mampu menjadi pemimpin yang baik dan membawa perubahan kepada Labu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Seorang lagi penduduk, Shahrizan Rosli, 36, berkata, sambutan yang diterima anak jati Labu itu sepanjang hampir dua minggu tempoh berkempen juga dilihat amat positif.
“Setakat ini saya lihat penduduk menerima beliau dengan baik. Kami juga berharap lebih ramai pengundi keluar menunaikan tanggungjawab supaya peratusan keluar mengundi meningkat.
“Selain itu, antara isu yang sudah lama membelenggu penduduk di sini adalah kekurangan sekolah. Saya berharap jika diberi mandat, Maira dapat membawa suara rakyat dan mendesak kerajaan mempercepatkan pembinaan sekolah baharu,” katanya.
Bagi Zainab Jais, 61, dari Kampung Gadong SC pula, beliau berharap calon wanita itu diberi peluang untuk memperjuangkan kebajikan golongan ibu tunggal di kawasan berkenaan.
“Saya mahu seorang pemimpin yang dapat membela nasib ibu tunggal supaya lebih banyak bantuan bersesuaian dapat disalurkan bagi membantu kami meneruskan kelangsungan hidup.
“Saya percaya seorang pemimpin wanita lebih dekat dengan rakyat dan lebih memahami keperluan serta isi hati golongan seperti kami,” katanya.
Sementara itu, Maira merayu sokongan pengundi bagi membantunya merampas semula kerusi DUN Labu yang pernah menjadi kubu kuat BN.
“Saya merayu sokongan semua pengundi kerana ramai yang sudah mengenali saya. Matlamat saya hanya satu, iaitu merampas kembali kerusi DUN Labu untuk BN.
“Saya dilahirkan, dibesarkan dan bersekolah di sini. Berilah saya peluang berkhidmat di tempat sendiri sebagai seorang wanita muda yang yakin mampu membawa perubahan kepada Labu,” katanya.-UTUSAN






