am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 15 ekor lembu bernilai RM90,000 di tepi Jalan Pasir Mas-Tanah Merah di Kampung Chabang 4 Chetok, dekat Pasir Mas, hari ini.
Operasi oleh Batalion 7 PGA menerusi Op Taring Wawasan Kelantan pada 2.30 petang itu turut merampas lori jenis Isuzu dianggarkan RM250,000 dan menahan pemandu lori berusia 38 tahun.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, keseluruhan rampasan berjumlah RM340,000.
Katanya, penahanan dibuat anggota Strike Force Batalion 7 yang terserempak dengan lori berkenaan yang dalam keadaan mencurigakan ketika membuat rondaan di kawasan tanggungjawab.
“Pasukan mengekori dan menahan lori itu. Pemeriksaan dijalankan dan meminta pemandu lori mengemukakan dokumen berkenaan lembu yang dibawa, namun invois dikemukakan tidak lengkap.
“Pemandu lori ditahan dan 15 ekor lembu serta kenderaan dirampas dan dibawa ke Komtak Jeram Perdah untuk pemeriksaan lanjut.
“Kesemua lembu kemudian diserahkan kepada pihak Jabatan Veterinar Negeri Kelantan untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati pemandu lori itu menerima upah RM250 bagi setiap penghantaran dan muatan lembu itu dibawa dari kandang di Kampung Palas Merah, Wakaf Bata, Tumpat.
Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 36 (1) Akta Binatang 1953.
© New Straits Times Press (M) Bhd






