Kuala Lumpur: Atlet angkat berat negara, Mohamad Syahmi Nor Ghazali mengakui kejayaan memenangi pingat emas dalam kategori 94 kilogram (kg) lelaki pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 sangat bermakna selepas dia berkorban untuk merealisasikan impian itu.
Mohamad Syahmi berkata kejayaan pada penampilan pertama Sukan Komanwel menjadi kenangan terindah selepas dia terpaksa berjauhan daripada keluarga selama tiga bulan untuk menjalani latihan intensif.
Pemenang pingat perak Sukan SEA 2025 itu berkata segala pengorbanan, disiplin dan komitmen sepanjang tempoh persiapan akhirnya berbaloi apabila berjaya menaiki podium, sekali gus mencatat pencapaian terbesar dalam kariernya.
“Pingat emas ini sangat bermakna bagi saya kerana saya memang mengorbankan segala-galanya untuk sampai ke tahap ini.
“Saya tinggalkan keluarga selama tiga bulan untuk memberikan sepenuh tumpuan kepada latihan. Alhamdulillah, segala pengorbanan itu akhirnya terbalas dengan pingat emas,” kata atlet berusia 22 tahun itu ketika ditemui Bernama selepas pertandingan di Scottish Event Campus Armadillo di sini hari ini.
Pada masa sama, Mohamad Syahmi berkata dia turut menghubungi ibunya sebelum turun bertanding bagi mendapatkan restu dan kata-kata semangat.
“Ibu hanya berpesan supaya saya memberikan yang terbaik dalam pertandingan. Pesanan itu membuatkan saya lebih tenang dan saya hanya fikir untuk melakukan setiap angkatan sebaik mungkin,” katanya.
Mohamad Syahmi muncul juara dengan jumlah angkatan keseluruhan 347kg, hasil 150kg dalam acara snatch dan 197kg dalam clean and jerk, dengan catatan clean and jerk berkenaan menjadi rekod baharu temasya.
Dia menewaskan wakil Kanada, Alex Bellemarre yang meraih perak dengan angkatan 346kg, manakala atlet Australia, Oliver Riley Saxton membawa pulang gangsa selepas mencatat 336kg.
Kejayaan itu menyaksikan Mohamad Syahmi menghadiahkan pingat emas keenam buat kontinjen negara di Glasgow.
Ia turut mengukuhkan kecemerlangan kem angkat berat selepas membolot empat emas masing-masing menerusi Mohamad Aniq Kasdan dalam kategori 60kg lelaki, Muhammad Aznil Bidin (65kg lelaki), Muhammad Erry Hidayat (79kg) dan Muhammad Hafizuddin Ruslin dalam kategori 88kg lelaki.
Malaysia kini mengumpul keseluruhan enam emas termasuk yang disumbangkan jaguh lompat jauh para negara, Datuk Abdul Latif Romly yang mengungguli saingan T20 lelaki.
Kontinjen negara turut mengumpul dua perak dan tiga gangsa masing-masing menerusi acara boling padang, powerlifting dan angkat berat.
© New Straits Times Press (M) Bhd






