Usaha struktur semula kewangan punca RCI Tabung Haji lambat didedah

Usaha struktur semula kewangan punca RCI Tabung Haji lambat didedah


SEREMBAN : Perdana Menteri mendedahkan punca sebenar Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) hanya didedahkan selepas beberapa tahun adalah bagi memberi ruang kepada Lembaga Tabung Haji (TH) melaksanakan usaha pemulihan dan penstrukturan semula kewangannya.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sekiranya laporan RCI itu didedahkan lebih awal, ia dikhuatiri akan menjejaskan proses pemulihan yang sedang dilaksanakan serta menghakis keyakinan pendeposit terhadap institusi berkenaan.

“Orang tanya, mengapa lambat? Ini keputusan kita semua. Tahun 2022-2023 saya jadi Perdana Menteri, taklimat diberikan oleh Tan Sri Abdul Rashid (Pengerusi TH).

“Bila beliau bagi taklimat, kita hendak putuskan sama ada hendak sebar atau tidak, Tan Sri Rashid kata, ‘nanti sekejap, sebab kita nak urus bagi betul Tabung Haji dulu.’ Rugi banyak, berniaga lingkup, bagi peluang kita pulih.

“Kalau keluar (dedah) awal, tidak sempat kita buat perubahan, orang lari (pendeposit), habis tinggal Tabung Haji, muflis Tabung Haji,” katanya semasa menyampaikan ucapan dalam Jelajah Kekal Harapan Negeri Sembilan di Tapak Pasar Malam Desa Cempaka di Nilai, di sini hari ini.

Anwar pada masa sama turut menyifatkan tindakan pihak yang mencabarnya untuk mendedahkan segera laporan penyelewengan itu sebagai tepat pada masanya.

“Jadi kita kata okay, tangguh sekejap. Tak sempat mereka bagi cadangan hendak sebarkan, ada orang cabar, ‘Anwar, kalau berani tuduh sakau, bongkarlah!’ Oh, saya kata terima kasih, pucuk dicita, ulam mendatang,” katanya.

Terdahulu, Jemaah Menteri bersetuju bahawa Laporan RCI mengenai TH diklasifikasikan semula dan didedahkan pada hari ini, selepas diberi taklimat oleh pengurusan tertinggi TH dan memperhalusi laporan dari 2014 hingga 2020.

Jemaah Menteri memutuskan siasatan penuh oleh badan-badan penguatkuasaan berdasarkan laporan ini akan diteruskan serta-merta, dan pihak-pihak terbabit akan dibawa ke muka pengadilan sekiranya wujud sebarang pelanggaran undang-undang.-UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top