Manchester: Manchester United melengkapkan pembelian pemain pertahanan Denmark, Patrick Dorgu dari Lecce dengan nilai bayaran dilaporkan sebanyak £25 juta (RM138.15 juta).
Pemain berusia 20 tahun itu mempamerkan prestasi mengagumkan dalam kancah Serie A sejak dua musim lalu apabila meledak lima gol dalam 53 penampilan dan memiliki empat cap untuk negaranya.
Dorgu adalah pemain pertama ditandatangani United di bawah kendalian Ruben Amorim dalam usaha mereka menyelesaikan isu kekangan pilihan di barisan pertahanan pengendali dari Portugal itu.
“Saya sangat berbangga kerana dapat menggelarkan diri saya sebagai pemain Manchester United; ini adalah hari paling istimewa buat seluruh keluarga saya,” kata Dorgu dalam kenyataan dikeluarkan kelab.
“Saya tidak sabar untuk bekerja di bawah Ruben Amorim, visinya untuk pasukan ini dan masa hadapan kelab sangat mengujakan.
“Terdapat pelan jelas yang dibuat untuk pembangunan saya dan saya merasakan Manchester United adalah tempat paling sesuai untuk melengkapkan potensi dan impian saya.”
Dalam pada itu, pengarah teknikal kelab, Jason Wolcox yakin Dorgu amat sesuai dengan formasi 3-4-3 yang diterapkan Amorim.
“Patrick adalah bakal yang sangat menarik, memiliki kekuatan pertahanan dan menyerang, kebolehsuaian dan kadar usaha akan menjadikan dia penting dalam skuad Ruben Amorim,” kata Wilcox.
“Pada usia hanya 20 tahun, kami tahu dia akan terus meningkat di bawah bimbingan pasukan kejurulatihan kami yang berwibawa.”
United berharap untuk meningkatkan dana dalam tempoh akhir jendela perpindahan, yang akan ditutup pada Isnin.
Marcus Rashford dilaporkan sudah menyertai Aston Villa secara pinjaman, yang akan membebaskan sebahagian besar bebanan gaji £300,000 (RM1.657 juta) seminggu.
Alejandro Garnacho turut dikaitkan dengan perpindahan ke Napoli, namun ia dijangka tidak akan berlaku sebelum Isnin.
© New Straits Times Press (M) Bhd