am@hmetro.com.my
Alor Gajah: Cuba mencuri kabel elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) dipercayai menjadi punca seorang lelaki Myanmar maut di dalam longkang akibat terkena renjatan elektrik.
Dalam kejadian 2.14 petang semalam, lelaki warga Myanmar itu ditemui mati bersebelahan Rumah Kuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Jalan Padang Keladi, Durian Tunggal di sini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Azrul Mohamed berkata, terdahulu Balai Polis Durian Tunggal menerima panggilan awam susulan penemuan seorang lelaki terbaring tidak sedarkan diri di dalam longkang.
Menurutnya, sepasukan anggota polis ke lokasi untuk melakukan siasatan dan menemui mangsa tidak jauh dari kawasan Litar Pemotoran Antarabangsa Melaka (MIMC).
“Si mati adalah pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) berusia 29 tahun.
“Hasil siasatan awal, polis percaya mangsa cuba mencuri kabel elektrik berikutan pintu pagar Rumah Kuasa milik TNB terbuka dan terdapat kabel-kabel yang sudah dipotong.
“Pemeriksaan lanjut pada tubuh mangsa didapati tiada sebarang unsur jenayah,” katanya malam tadi.
Azrul berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh penolong pegawai perubatan yang hadir di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat.
Katanya, terdahulu operasi mengeluarkan mayat mangsa dilakukan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh.
“Setakat ini kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan kita masih menyiasat sama ada pembabitan pihak lain,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






