July 13, 2024

DPIM sokong inisiatif kerajaan bantu 10,000 pemegang sijil halal

DPIM sokong inisiatif kerajaan bantu 10,000 pemegang sijil halal


KUALA LUMPUR – Dewan Perniagaan Islam Malaysia (DPIM) mahu menyokong inisiatif kerajaan untuk membangunkan sehingga 10,000 pemegang sijil halal yang terdiri daripada pelbagai kategori perniagaan bersaiz kecil dan sederhana.

Ini adalah usaha dewan tersebut secara berterusan untuk mengukuhkan misi negara menjadi pemimpin global dalam produk dan perkhidmatan halal.

Pengerusi Tetap DPIM, Datuk Romli Ishak berkata, masih banyak lagi syarikat berpotensi yang memerlukan nasihat, bimbingan dan pemantauan tentang usaha kearah mendapatkan pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Beliau yang juga Pengerusi Cyberview Sdn. Bhd., antara usaha pihaknya adalah dengan penganjuran Ekspo Halal Malaysia 2024 yang turut melibatkan penyertaan pemain yang akan memberi panduan dan testimoni mengenai impak positif terhadap syarikat setelah mendapat sijil halal.

“Sepanjang acara tiga hari ekspo tersebut berlangsung, usahawan terlibat dalam sesi perkongsian, aktiviti sokongan perniagaan, kursus pendek dan sesi rangkaian yang memberi tumpuan kepada permintaan halal, kerangka peraturan dan strategi pengembangan pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pe­rasmian ekspo yang berlangsung di Pusat Pameran dan Konven­syen Mines, Seri Kembangan baru-baru ini.

Pengerusi Tetap DPIM, Datuk Romli Ishak.

Mengulas penganjuran Ekspo Halal Malaysia 2024, Romli menambah, sebanyak 130 pempamer terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) telah menyertai ekspo tahun kedua berturut-turut anjuran DPIM bersama HQC Commerce.

Kata beliau, ekspo bertemakan Merentasi Sempadan turut mendapat sokongan daripada beberapa kedutaan asing di Malaysia termasuk dari Bangladesh, Somalia dan Republik Guinea.

“Tema ini bersesuaian dengan persekitaran ekonomi semasa yang mahu memberi inspirasi kepada PKS agar dapat meningkatkan tahap capaian perniagaan dengan me­langkaui sempadan geografi sedia ada.

“Matlamatnya juga adalah untuk mendedahkan syarikat ini kepada segmen pasaran halal yang lebih kukuh dan membolehkan mereka mencapai tahap baharu dalam usaha perniagaan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top